Seorang guru wanita maut kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sri Menanti-Parit Sikom, Pontian, semalam.

PONTIAN – Seorang guru wanita maut kemalangan ketika dalam perjalanan ke rumah pengasuh anaknya di Kilometer 2.2, Jalan Sri Menanti-Parit Sikom di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, kejadian tersebut mengorbankan Jamaliah Aris yang berusia 37 tahun dan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Yusuf Sulaiman, Pekan Nanas.

Beliau memberitahu, kejadian tersebut berlaku pukul 4 petang melibatkan kereta Toyota Vios dipandu mangsa dengan lori Isuzu putih dipandu seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa kereta mangsa keluar dari simpang Parit Basilam lalu bertembung dengan lori berkenaan.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Pontian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadzrat berkata, pemandu lori berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan namun ditahan dan kenderaan berkenaan disita untuk siasatan lanjut.

Ujian saringan air kencing mendapati negatif bahan terlarang.

Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Αkta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan penjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000.

“Ini termasuk hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun,” katanya dan meminta saksi kejadian tersebut tampil ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian atau menghubungi Inspektor Tong Siew Fen 010-2090396 untuk bantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast