KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya tiga kakitangan disahkan menghidap kanser paru-paru, darah dan payu dara manakala empat lagi mengalami masalah berkaitan tiroid akibat kemungkinan pendedahan radiasi yang berlaku di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) .
Perkara itu didedahkan oleh bekas juru X-ray Unit Perubatan Nuklear PPUM, Nur Fauzia Abdul Razak, 35, yang kini menghidap kanser Hodgkin’s Lymphoma tahap empat.
Menurutnya, kewujudan Kluster Kanser dalam kalangan kakitangan di PPUM selepas pemasangan mesin Positron Emission Tomography–Computed Tomography (PET-CT) di Menara Selatan beberapa tahun lalu hingga mencetuskan kebimbangan serius.
Apatah lagi, dakwanya, berlaku peningkatan kes penyakit dalam kalangan staf di pusat perubatan tersebut.
“Kesemua staf yang terlibat adalah daripada Jabatan Radiologi dan bekerja di tingkat sama, sekali gus menimbulkan kebimbangan berlakunya pelanggaran serius terhadap prosedur keselamatan radiasi,” kata Nur Fauzia kepada media dalam satu sidang media mengenai isu tular Kluster Kanser di PPUM di sini, hari ini.
Beliau turut mendedahkan terdapat kes melibatkan pesakit kanser payu dara yang terpaksa melahirkan anak secara pramatang sebelum menjalani pembedahan membuang keseluruhan payu dara.
Menurut Fauzia, satu laporan telah dikemukakan kepada Bahagian Kawalan Radiasi dan Perubatan (BKRP), namun wujud percanggahan antara dapatan siasatan dan maklum balas rasmi yang diterima.
Dakwanya, situasi itu menimbulkan persoalan mengenai ketelusan laporan serta kemungkinan berlaku manipulasi data berkaitan tahap pendedahan radiasi.
Dalam masa sama, beliau mendakwa, terdapat kegagalan mematuhi keperluan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984, termasuk pemantauan dos radiasi, penyelenggaraan peralatan serta pelaksanaan latihan keselamatan kepada staf.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Sekretariat Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi (#ReformIPT) yang menyifatkan dakwaan itu sebagai serius kerana melibatkan aspek keselamatan pekerja dan pesakit.
Pihak berkenaan menegaskan, siasatan lanjut perlu dijalankan bagi memastikan sama ada wujud kaitan antara pendedahan radiasi dengan kes penyakit yang dilaporkan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan PPUM berhubung dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette
















