KUALA LUMPUR – Malaysia sedang memperkukuh keupayaan pertahanan siber negara melalui pembangunan Pemerintahan Siber dan Elektromagnet (PSEP), termasuk melahirkan modal insan berkualiti tinggi menerusi Pendidikan Ketenteraan Profesional.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyelarasan PSEP dengan Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) akan mewujudkan ekosistem perisikan berasaskan data masa nyata, sekali gus memastikan keunggulan dan dominasi maklumat dalam menghadapi cabaran peperangan asimetri.
Menurutnya, kerajaan turut menubuhkan Rejimen Pakar Keselamatan Siber dan Geospatial dalam Askar Wataniah bagi menggalakkan penglibatan belia berkemahiran serta golongan profesional dalam usaha memperkukuh pertahanan negara.
“Selain itu, Dasar Industri Pertahanan Negara telah dilancarkan bagi memacu inovasi tempatan khususnya dalam teknologi siber dan digital.
“Kerajaan akan memperluaskan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia ke dalam domain siber dan elektromagnet yang kini diiktiraf sebagai domain keempat peperangan moden menerusi Kertas Putih Pertahanan,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Forum Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber sebagai Barisan Hadapan Pertahanan Digital di Mitec di sini, hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad.
Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata, melalui inisiatif seperti Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) serta pelaksanaan projek nasional melibatkan dron, satelit dan sistem radar, Malaysia kini berada pada landasan untuk menjadi pemain aktif dalam sektor pertahanan siber dan digital.
Pada masa sama, beliau menegaskan sumber mineral kritikal negara turut mempunyai potensi besar dalam menyokong rantaian bekalan digital global untuk jangka panjang.
Mohamed Khaled berkata, ancaman siber dijangka terus menjadi semakin kompleks dan canggih, justeru tahap kesiapsiagaan negara perlu kekal konsisten, proaktif serta melibatkan semua sektor masyarakat, bukan hanya angkatan tentera.
“Forum seperti yang dianjurkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) amat penting dalam memupuk kerjasama serta menjana idea berpandangan ke hadapan yang dapat memperkukuh dasar dan kesedaran nasional,” ujarnya.
Beliau berharap dapatan utama forum tersebut dapat disebarluaskan kepada masyarakat umum demi meningkatkan kefahaman serta kesiapsiagaan negara dalam mendepani ancaman siber.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, peperangan moden kini tidak lagi bermula dengan serangan fizikal, sebaliknya melalui gangguan digital, manipulasi maklumat dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai senjata, sekali gus memaksa Malaysia mempercepat transformasi pertahanan negara bagi menghadapi ancaman tanpa sempadan.
Menurutnya, serangan berbentuk digital mampu menggugat kestabilan masyarakat tanpa amaran, justeru negara tidak boleh berdiam diri dan perlu segera menyesuaikan strategi pertahanan.
Tambah beliau, landskap peperangan masa depan semakin bersifat asimetrik dengan kuasa tidak lagi bergantung kepada kekuatan ketenteraan semata-mata, tetapi ditentukan oleh keupayaan menyesuaikan diri serta inovasi teknologi.
“Pertahanan negara yang sebenar menggabungkan teknologi canggih dengan pertimbangan manusia, manakala AI dan teknologi siber menjadi elemen yang tidak dapat dielakkan dalam peperangan moden,” katanya. – MalaysiaGazette
















