Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Perikatan Nasional di Ibu Pejabat Parti Gerakan, Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAl, 14 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan konvensyen pada minggu hadapan sebagai langkah awal menyusun strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), khususnya di Melaka yang dijangka berlangsung lebih awal dari tempoh matang.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persiapan telah digerakkan lebih awal termasuk turun padang bertemu jentera parti komponen di negeri berkenaan.

“Minggu depan Perikatan Nasional akan mengadakan konvensyen persiapan menghadapi pilihan raya terutama Melaka.

“Saya telah beberapa kali turun ke Melaka bukan sahaja bertemu jentera Pas, tetapi juga rakan-rakan daripada Bersatu,” demikian katanya memetik laporan Harakahdaily.

Beliau berkata, PN kini berada dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk jika PRN Melaka diadakan lebih awal daripada jangkaan asal.

“Kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya di Melaka yang saya jangka diadakan sebelum Oktober tahun ini walaupun tempoh mereka hingga 27 Disember 2026 sebelum dia buat undangan lagi terbubar dengan sendirinya tapi saya percaya mereka akan mengadakan lebih awal dari itu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, fokus utama kini tertumpu kepada pengukuhan organisasi termasuk jentera pilihan raya serta aspek kewangan.

“Jadi kita bersedia dari sekarang termasuk dari segi jentera, dari segi persediaan akar umbi kita dan sebagainya insya-Allah,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan PN berdepan risiko ditolak rakyat susulan isu dalaman, Ahmad Samsuri menegaskan perkara itu hanya pandangan peribadi pihak tertentu.

“Itu pandangan peribadi beliau. Tapi yang penting kita ingin bergerak ke hadapan dan tentunya kita perlu menyelesaikan apa jua ketidakfahaman atau salah faham yang wujud dalam Perikatan Nasional,” jelasnya.

Menurut beliau, beberapa pelan tindakan telah ditetapkan hasil mesyuarat terdahulu bagi memperkukuh kedudukan PN sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada di peringkat Persekutuan.

“Saya percaya hasil daripada mesyuarat yang pertama itu kita telah meletakkan beberapa mercu tanda dan milestone yang perlu kita capai untuk memperbetulkan langkah meletakkan Perikatan Nasional di atas landasan yang sebenarnya untuk kita menjadi pilihan ataupun true alternatif untuk menggantikan kerajaan yang ada di peringkat Persekutuan,” katanya.

Tambahnya, jentera parti di semua peringkat sentiasa bersedia menerima arahan selain mengakui perbezaan pandangan dalam organisasi adalah perkara biasa dan boleh diselesaikan.

“Biasalah dalam keluarga ni biasa, adik-beradik pun kadang-kadang ada silap faham dan sebagainya. Saya rasa itu perkara kecil yang boleh kita perbaiki,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast