KUALA LUMPUR – Padah menceroboh masuk sebuah rumah dalam keadaan tidak waras, seorang lelaki tempatan ditahan di kawasan USJ, Subang Jaya, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superitendan Mohd Fairus Jaafar berkata, susulan itu suspek berusia 20-an itu telah direman tiga hari sehingga 25 April bagi membantu siasatan.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya hari ini telah menerima maklumat berhubung video tular memaparkan seorang lelaki menceroboh masuk sebuah rumah dalam keadaan kurang waras.
“Kejadian itu berlaku 22 April lalu yang dirakam dan dimuat naik melalui aplikasi Threads dan suspek telah ditahan pada hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.
“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini dan sebarang maklumat berkaitan diminta salurkan kepada IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















