MAKKAH – Seorang jemaah haji lelaki dari Pahang meninggal dunia di sebuah hospital di sini, jam 12.45 tengah hari waktu tempatan.
Allahyarham berusia 65 tahun.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, Allahyarham berada di kawasan dataran Masjidil Haram untuk menunaikan solat fardu Jumaat, sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.
Jemaah berkenaan telah diberikan rawatan awal di kawasan kejadian dan dibawa ke Hospital Jiwar Jabal Omar, Makkah.
Bagaimanapun, jemaah tersebut disahkan meninggal dunia di pusat rawatan berkenaan pada jam lebih kurang 12.15 tengah hari akibat komplikasi jantung.
Menurut beliau, setelah selesai proses dokumentasi, jenazah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas solat Marghrib dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea di Makkah.
“Dengan penuh dukacita, TH ingin menyampaikan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham. Kami mendoakan semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa, menerima segala amal ibadahnya serta ditempatkan bersama golongan yang beriman,” kata Hisham.
Katanya, Allahyarham datang ke Tanah Suci bersama isterinya dan merupakan jemaah daripada kumpulan KT12 dan menginap di Maktab 65, Al Kiswah Hotel di Makkah
Tambahnya, Petugas Kebajikan TH, kaunselor dan pembimbing ibadat haji telah menziarahi isteri Allahyarham untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya.
Hisham turut berkata, pihak TH akan menganjurkan majlis bacaan tahlil bersama para jemaah haji yang lain untuk Allahyarham dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette
















