Rampasan cecah RM8.63 juta selain pemilik premis turut ditahan dalam serbuan tersebut.

SUNGAI PETANI – Sebuah kilang memproses sisa plastik tanpa kelulusan pihak berkuasa diserbu dalam satu operasi bersepadu di sini, semalam dengan rampasan keseluruhan dianggarkan RM8.63 juta.

Op Taring Alpha 5 itu dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Cawangan Risik Batalion 3, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Majlis Perbandaran Sungai Petani serta Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Muda.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang dipercayai pemilik premis dalam operasi berkenaan.

Jelas beliau, premis terbabit didapati menjalankan aktiviti pemprosesan sisa plastik menggunakan fasiliti sedia ada sebelum bahan berkenaan dihantar ke kilang di sekitar negeri ini dan Pulau Pinang untuk dijadikan produk lain.

“Hasil siasatan lanjut juga mendapati premis tersebut tidak pernah diserbu sejak beroperasi pada 2021 meskipun tiada sebarang kelulusan.

“Susulan itu kita merampas pelbagai mesin, jentera dan peralatan memproses plastik, serta kira-kira 200 tan beg jumbo berisi sisa plastik belum diproses dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM8.63 juta.

“Kes berkenaan diserahkan kepada JAS Kedah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, dalam operasi sama Majlis Perbandaran Sungai Petani turut mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada pemilik premis di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Premis Tred Perniagaan dan Perindustrian.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pemprosesan plastik tanpa kelulusan sah kerana boleh memberi risiko kepada alam sekitar dan keselamatan awam.

“Usaha risikan dan operasi bersepadu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast