SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor membidas dakwaan pihak tertentu kononnya larangan penternakan babi di negeri itu akan menyebabkan komuniti penternak tersebut kebuluran dan hilang punca pencarian.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar menegaskan, sebaliknya masih ramai rakyat sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup khususnya pemandu e-hailing yang masih tidak mendapat keadilan.
“Ramai lagi yang lapar kat luar sana, bukan penternak babi sahaja. Ada kawan-kawan kita bawa e-hailing yang berhempas pulas untuk teruskan hidup sebab insurans kenderaan e-hailing yang sangat mahal, kena habiskan beribu modal awal.
“Sepatutnya perut-perut yang lapar ini dijaga daripada beberapa orang penternak babi,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Sukri juga mengingatkan Kerajaan Negeri Selangor melihat semula keutamaan dari segi menjaga kebajikan rakyat dan bukannya kecil komuniti penternak babi semata-mata.
“Takkanlah sebelum ini untung berjuta-juta, keuntungan sampai RM20 juta yang dihasilkan, tiba-tiba penternak babi lapar,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Pemuda Pas Selangor tiada halangan jika Kerajaan Negeri Selangor mahu membantu penternak babi dengan mengusahakan haiwan ternakan halal.
“Sekiranya Kerajaan Negeri Selangor nak bantu mereka, lorongkan supaya daripada menternak babi kepada menternak lembu, okay lah.
“Saya rasa tak ada masalah, baguslah inisiatif itu, memberi jalan lain untuk mereka bertahan hidup, tapi kalau nak bantu mereka ternak lagi babi sebab mereka lapar, ini tidak munasabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

















demi undi dan survival politik