KUANTAN – Seorang mekanik maut selepas dirempuh lori ketika sedang memeriksa tayar sebuah lori treler yang rosak di tepi jalan di kilometer 119.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.10 tengah hari tadi.
“Siasatan awal mendapati, sebuah lori treler berada di bahu jalan di lokasi terbabit kerana tayar belakang sebelah kirinya pancit.
“Mangsa yang merupakan lelaki berusia 48 tahun ketika itu sedang melakukan pemeriksaan tayar di bahagian tengah di sebelah kanan lori treler untuk ditukar dengan taray pancit itu,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, katanya sebuah lori jenis Hino datang dari arah sama telah bergesel dengan lori treler terbabit dan turut melanggar mangsa.
Menurut Mohd Nasyim, lori Hino itu kemudian terbabas ke bahagian kiri jalan berkenaan, manakala mangsa telah tercampak ke tengah jalan.
Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Mentakab, Temerloh itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kedua-dua pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Temerloh dan bedah siasat akan dilakukan pada jam 9 pagi esok.
“Hasil semakan awal turut mendapati, pemandu lori Hino berusia 36 tahun itu mempunyai 19 saman pelbagai,” katanya.
Mohd Nasyim berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan. – MalaysiaGazette
















