Noor Azlan didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki.

BUTTERWORTH – Seorang pekerja pembersihan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki di sebuah institusi pemulihan akhlak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tertuduh, Noor Azlan Mat Nayan, 57, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun dengan meletakkan dan menggosokkan tangan mangsa pada kemaluan tertuduh bagi tujuan seksual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tandas sebelah bengkel pembelajaran di sebuah institusi pemulihan akhlak di bawah JKM dalam daerah Seberang Perai Utara, jam 11 pagi pada 21 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di lokasi sama, jam 9 pagi pada awal April lalu.

Hakim menetapkan 24 Jun depan sebagai tarikh sebutan fakta kes serta hukuman.

Kedua-dua pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi sebutan fakta kes dan hukuman serta tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh atas faktor kedua-dua pertuduhan yang dihadapi adalah serius, iaitu membabitkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Tertuduh bagaimanapun tidak memohon jaminan atas alasan ahli keluarganya menetap jauh.

Hakim kemudian menetapkan 24 Jun depan sebagai tarikh sebutan fakta kes dan hukuman.

Difahamkan, tertuduh merupakan pekerja pembersihan di institusi tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast