PUTRAJAYA – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing mendakwa dihalang memasuki Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini ketika mahu membuat laporan berkaitan bekas Ketua Pesuruhjaya agensi penguatkuasaan undang-undang itu, Tan Sri Azam Baki hari ini.
Kekecohan berlaku selama beberapa minit di pintu masuk bangunan berkenaan selepas berlaku pertikaian mengenai jumlah peguam yang dibenarkan menemani beliau ketika menyerahkan laporan tersebut.
Menurut Albert Tei, pihak SPRM hanya membenarkan seorang peguam masuk bersamanya, sedangkan beliau mahu ditemani dua peguam termasuk seorang peguam wanita.
“Saya datang untuk membuat laporan secara rasmi, namun berlaku halangan di pintu masuk apabila hanya seorang peguam dibenarkan masuk bersama saya.
“Saya mahu kedua-dua peguam saya hadir kerana salah seorang daripadanya ialah peguam wanita yang turut terlibat dalam urusan dokumentasi dan pemerhatian proses,” dakwanya kepada media di luar pekarangan ibu pejabat SPRM.
Albert Tei berkata, tindakan tersebut menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan prosedur penguatkuasaan SPRM kerana beliau hadir sebagai pengadu, bukannya suspek.
Beliau turut memaklumkan, permintaannya agar dua peguam menemaninya termasuk seorang peguam wanita adalah atas faktor keselamatan dan keselesaan sekiranya pegawai penyiasat yang mengendalikan laporan itu adalah wanita.
“Saya dengan Mahajot Singh (peguam) adalah lelaki. Kalau pegawai penyiasat itu perempuan, saya perlukan seorang peguam perempuan menemani saya. Itu asas sahaja, tetapi mereka tidak faham,” katanya.
Beliau turut mendakwa, pegawai terbabit enggan menunjukkan arahan bertulis berhubung larangan itu dan hanya memaklumkan ia adalah “arahan pihak atasan”.
“Saya tanya arahan mana, surat mana, semuanya tak ada. Mereka hanya bercakap berdasarkan mulut sahaja. Bila saya tanya siapa beri arahan, mereka tidak berani beri nama,” dakwanya.
Albert turut mendakwa tindakan berkenaan menunjukkan wujudnya amalan “dua darjat” dalam sistem penguatkuasaan, malah turut menyifatkan situasi itu sebagai memalukan.
“Berapa kali SPRM kata kalau tahu berkenaan rasuah, datang buat laporan. Hari ini kami cuba buat aduan tetapi tidak dibenarkan masuk,” katanya.
Susulan keadaan itu, Albert bersama pasukan peguamnya dilihat meninggalkan kawasan ibu pejabat SPRM tanpa sempat menyerahkan laporan berkenaan.
Media difahamkan, selepas itu pihak SPRM telah membenarkan Albert Tei untuk masuk membuat laporan yang dihajatkan, namun beliau enggan meneruskan proses berkenaan dan meminta SPRM mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kekusutan yang telahpun berlaku.

Terdahulu, dalam sidang medianya sebelum itu ahli perniagaan kontroversi berkenaan mengulangi dakwaannya bahawa Azam mengugut, menghalang dan menganiayainya ketika cuba mendedahkan skandal rasuah membabitkan 15 ahli politik berprofil tinggi di Sabah pada November 2024.
Katanya, beliau tampil membuat pendedahan itu selepas mendakwa sudah tidak lagi takut untuk bercakap susulan persaraan Azam semalam.
“Saya mengesahkan bahawa dalang yang mengugut saya, menghalang saya dan menganiaya saya ketika saya mendedahkan skandal rasuah di Sabah pada November 2024 adalah Tan Sri Azam Baki.
“Saya mempunyai bukti termasuk rekod komunikasi WhatsApp, senarai saksi dan dokumen berkaitan bagi menyokong dakwaan saya terhadap Azam,” dakwanya.
Mengulas lanjut, Albert Tei berkata, ketika skandal tersebut mula didedahkan kira-kira satu tahun enam bulan lalu, beliau tidak berani membuat laporan polis atau tampil secara terbuka kerana bimbang dikenakan tindakan balas memandangkan Azam ketika itu masih memegang jawatan tertinggi dalam SPRM.
Katanya, isu berhubung individu yang didakwa mengugutnya pernah dibangkitkan beberapa kali di Parlimen selepas beliau mendedahkan skandal rasuah melibatkan beberapa wakil rakyat Sabah.
Albert Tei sebelum itu memaklumkan, beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata, semua dokumen berkenaan akan diserahkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk terhadap Azam.
“Kami menaruh harapan tinggi kepada kepimpinan baharu SPRM dan menuntut tindakan segera diambil termasuk menyiasat Azam Baki,” katanya. – MalaysiaGazette
















