KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diminta memberi penjelasan terperinci berhubung keputusan membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, penjelasan itu perlu merangkumi semua aspek termasuk kualiti, syarat kemasukan ke IPT serta pematuhan terhadap segala peraturan yang ditetapkan.
Tegasnya, ini bagi menangani persepsi dan kekhuatiran masyarakat kerana isu pendidikan sering menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat.
“Dalam masyarakat kita, isu pendidikan memang sering menimbulkan persepsi dan kekhuatiran. Tidak semua orang memahami sepenuhnya apa yang sedang berlaku, sebab itu penerangan daripada pihak kementerian sangat penting,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa keputusan berkaitan UEC dibuat atas pertimbangan politik serta dianggap sebagai satu keputusan yang salah.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/05/15/uec-spm-tetap-wajib-perlu-lulus-sejarah-dan-bm-zambry/
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong dipetik berkata, pengiktirafan tersebut dilihat sebagai membuka ruang yang lebih besar kepada sistem pendidikan yang tidak selari dengan dasar nasional.
Katanya, keputusan itu juga tidak dapat dipisahkan daripada faktor politik semasa serta tekanan pihak tertentu dalam kerajaan.
Mengulas lanjut Mohd Izani yang juga seorang penganalisis politik berkata, KPT juga perlu menerangkan sama ada keputusan tersebut merupakan satu dasar baharu, bagaimana ia akan dilaksanakan dan apakah asas pertimbangan yang digunakan dalam membuat keputusan itu.
“Negara kita masih mempunyai rasa bimbang terhadap perubahan-perubahan yang berlaku termasuk dalam bidang pendidikan. Kita perlu melihat perubahan yang sedang berlaku dalam negara dan bagaimana ia memberi kesan kepada masyarakat,” ujarnya.
Mohd Izani turut berpandangan isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks lebih luas termasuk perkembangan pendidikan dan keperluan semasa negara.
“Yang paling penting sekarang ialah penjelasan daripada pihak KPT sendiri supaya persepsi dan kekhuatiran masyarakat dapat ditangani. Saya yakin KPT boleh memberi jaminan soal kualiti pendidikan tinggi tidak akan dikompromikan ,” katanya.
Semalam, KPT dalam kenyataannya berkata, kerajaan bersetuju membuka laluan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) kepada pelajar lepasan sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) bagi mengikuti program pengajian tertentu.
Katanya, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebagai sebahagian usaha memperkasa akses pendidikan tinggi negara secara lebih inklusif tanpa menjejaskan standard akademik dan kualiti sistem pendidikan tinggi.
Calon daripada aliran berkenaan yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh boleh memohon program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit, berdasarkan pakej mata pelajaran ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM). – MalaysiaGazette
















