KUALA LUMPUR – Pegawai dan anggota polis yang bertugas di lokap Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berdepan tindakan gantung tugas susulan penemuan pelbagai barangan terlarang iaitu paket dadah, telefon bimbit dan senjata tajam di dalam sebuah sel tahanan itu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan segera telah diambil dengan mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) menjalankan siasatan lanjut serta mengambil tindakan.
“Ini termasuk menggantung pegawai dan anggota berkaitan dan tindakan seterusnya akan dibuat bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan juga beberapa jabatan bagi memastikan perkara ini tidak berulang.
“Semua Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah (KPD) juga diarahkan melakukan pemeriksaan di semua lokap dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap keselamatan dan pemantauan sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Secara keseluruhannya, kita melihat keadaan masih baik dan terkawal, cuma dalam satu kes terbaru, hasil siasatan mendapati berlaku sedikit kelompongan apabila beberapa bahan terlarang dijumpai di dalam lokap,” katanya pada sidang media Ops Teguh 2.0 di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pemeriksaan mengejut yang dijalankan JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak membongkar penemuan pelbagai barangan terlarang di Balai Polis Sentral IPD Ipoh baru-baru ini.
Pembongkaran itu menemui pelbagai barangan terlarang termasuk dadah, telefon bimbit dan senjata tajam di dalam sebuah sel lokap di Balai Polis Sentral IPD Ipoh yang menempatkan empat orang Orang Kena Tahan (OKT) lelaki. – MalaysiaGazette

















Sepatutnya pemeriksaan berkala sentiasa dilakukan. Tindakan buang kerja harus diutamakan keatas musibah yg tidak amanah menjalankan tugas.