Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

KUALA LUMPUR – Polis menahan enam lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes kematian seorang pemuda golongan orang kurang upaya (OKU) berusia 19 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di tepi jalan di Kampung Chap Bekelam, Bachok, Kelantan, bulan lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mangsa ditemukan pada 14 April lalu kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Menurut beliau, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 15 April 2026 kira-kira pukul 12.55 tengah malam.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan pada pukul 9 pagi hari sama mendapati, punca kematian adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat trauma tumpul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, satu pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok telah melaksanakan beberapa siri serbuan di sekitar Kelantan dan Selangor.

Katanya, operasi tersebut membawa kepada penahanan enam lelaki Melayu berusia antara 25 hingga 52 tahun serta seorang wanita Melayu berusia 28 tahun.

“Polis turut merampas beberapa barang kes termasuk sebuah kereta, tiga motosikal, enam telefon bimbit, empat pasang pakaian, dua batang kayu, satu komponen motosikal, satu gayung, satu tong cat serta beberapa cebisan kain bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut beliau, semua suspek direman bermula 10 Mei hingga 22 Mei ini selepas permohonan reman dibenarkan Mahkamah Majistret Bachok.

“Hasil semakan mendapati empat daripada tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing terhadap semua suspek didapati negatif,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast