Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

LANGKAWI – Seorang pengendali jet ski yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut ketika cuba mendapatkan semula jet ski hanyut di perairan Pantai Tengah di sini, ditemukan lemas petang tadi.

Mayat, Arash Nashran Abdul Maser, 23, ditemukan kira-kira jam 6 petang oleh orang awam yang menaiki jet ski pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang sebelum maklumat itu disalurkan kepada pasukan penyelamat.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke darat oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum pegawai Kementerian Kesihatan mengesahkan kematiannya di lokasi kejadian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, operasi SAR disambung semula pada jam 8 pagi tadi dengan pencarian dibahagikan kepada tiga sektor melibatkan keluasan 2.54 batu nautika persegi di sekitar perairan Pulau Tepor.

Operasi itu melibatkan empat aset laut daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Media semalam melaporkan, mangsa dikhuatiri lemas selepas terjun ke laut bagi mendapatkan semula sebuah jet ski yang hanyut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast