SEPANG – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di Pantai Bagan Lalang, Tanjong Sepat di sini petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 3.18 petang.
Menurut beliau, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang bersama enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pukul 3.49 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, Komander Operasi menerima maklumat daripada pemanggil bahawa mangsa, seorang remaja lelaki Melayu berusia 17 tahun dipercayai lemas ketika mandi di kawasan pantai bersama rakannya.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.10 petang sebelum mangsa hilang dari pandangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Akhil Zamani Sanusi.
Ahmad Mukhlis berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan oleh pasukan bomba dengan menggunakan bot penyelamat bagi mengesan kedudukan mangsa.
“Operasi melibatkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah kenderaan utiliti Hilux serta sebuah bot penyelamat,” katanya.
Beliau berkata, operasi SAR masih diteruskan sehingga mangsa ditemui dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti riadah di kawasan pantai, terutama ketika keadaan ombak dan arus tidak menentu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















