Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong berharap pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedar bahawa tiada rakyat yang waras mahu kembali kepada era satu parti dengan UMNO sebagai parti dominan yang menentukan segala-galanya untuk rakyat.

Menurutnya, zaman sudah berubah dan buktinya dapat dilihat dalam keputusan pilihan raya umum (PRU) 2022 yang mana daripada 26 kerusi Parlimen Johor, BN hanya memenangi sembilan kerusi berbanding PH (15).

Kata beliau, dalam landskap politik sekarang, jika diramalkan, keputusan PRU-16 nanti bakal menyaksikan PH dan Perikatan Nasiona (PN) kekal sebagai dua gabungan besar manakala BN pula semakin hilang popularitinya.

“Sementara kita mengakui BN mempunyai kelebihan dalam PRN Johor, faktanya ialah kemenangan di peringkat negeri tidak semestinya menjamin kejayaan pada PRU akan datang,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Kewangan mendedahkan, mengikut formula asal UMNO, bagi 71 kerusi yang telah dimenangi PN, parti yang mendapat undi kedua terbanyak akan bertanding mewakili gabungan PH-BN pada PRU akan datang.

Berdasarkan cadangan itu, kata beliau, PH akan bertanding di 90 kerusi manakala BN (75 kerusi).

Namun, dakwa beliau, disebabkan formula itu hanya membolehkan MCA bertanding dua kerusi Parlimen, ia menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpinnya.

Tambahnya, bagi mencari jalan untuk bertanding lebih daripada dua kerusi, MCA mendesak BN untuk bertanding solo, walaupun ia sedar kemahuannya itu akan menyebabkan berlakunya pertandingan tiga penjuru yang akan menjejaskan peluang kedua-dua BN dan PH.

“Walaupun MCA merupakan rakan gabungan Kerajaan Perpaduan, ia bersikap seperti pembangkang, membawa isu yang menyebabkan kemarahan dalam kalangan parti-parti komponen, menimbulkan keresahan kaum Cina, dan mempertikaikan kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, serta menyerang DAP dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Tambah beliau, di dalam UMNO pula, ada pemimpin yang tidak mahu parti itu bertanding sebagai rakan gandingan PH.

Dakwanya, mereka percaya UMNO hanya dapat mengembalikan kegemilangan masa lalu dengan bertanding bersendirian di sebanyak kerusi yang boleh di samping mengemukakan calon Perdana Menteri mereka sendiri.

Katanya, mereka beranggapan cara itu dapat mengembalikan sokongan Melayu kepada UMNO.

Sehubungan itu, jelasnya, UMNO Johor berpandangan bahawa Johor sebagai kubu UMNO perlu mengadakan pilihan raya negeri terlebih dahulu.

“Dengan mengandaikan kemenangan besar dalam PRN tersebut, para pemimpinnya yakin ia akan menjadi kelebihan serta sumber kekuatan untuk bertanding solo pada PRU akan datang.

“Namun, sejarah membuktikan bahawa PRU 2018 telah mengakhiri era sistem “satu parti” yang begitu lama mendominasi landskap politik Malaysia.

“Sebenarnya sudah tiada lagi satu parti dominan di Malaysia. Semua parti perlu bekerjasama dan bertolak ansur untuk bertanding serta menubuhkan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast