KUALA LUMPUR – Pemilik restoran Nasi Lemak Tanglin, Fazaitul Akhma Zainal Abidin tampil menjelaskan tidak mempunyai kaitan dengan fahaman Ahmadiyah Qadiani.
Beliau membuat penjelasan susulan penularan video memaparkan bapanya yang mengaku sebagai penganut ajaran berkenaan yang telah difatwakan sesat sejak berpuluh tahun dahulu.
Sambil menegaskan beliau pengamal pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, Fazaitul tidak mencampuri urusan pegangan dan anutan bapanya selepas tidak lagi berhubung sejak 2009.
“Saya tidak tinggal sebumbung dengan Zainal Abidin (ayah), saya keluar rumah sejak 2009. Apa yang dia (Zainal Abidin) pegang, fahaman dia tidak ada kaitan dengan saya,” katanya ketika sidang media bersama peguam yang mewakilinya, Mohd Haijan Omar di Bangsar hari ini.

Sehubungan itu, beliau menangkis tohmahan yang mengaitkan dirinya dengan bapanya yang bukan pemilik restoran yang dikenali di ibu kota itu.
“Penama Zainal Abidin Hassan tidak mempunyai sebarang pemilikan, penglibatan, kawalan, pengurusan mahupun kepentingan dalam perniagaan Nasi Lemak Tanglin.
“Sebarang dakwaan dan andaian yang mengaitkan Nasi Lemak Tanglin dengan fahaman tersebut adalah tidak benar sama sekali, mengelirukan dan merupakan fitnah yang memberi kesan kepada reputasi baik perniagaan saya,” jelasnya.
Terdahulu, Fazaitul Akhma mengesahkan telah membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan multimedia Malaysia (SKMM) terhadap satu akaun Facebook Keranda Ghulat yang mendakwa dan mengaitkan restoran berkenaan dengan fahaman Qadiani.
Mengulas lanjut, Mohd Haijan memberi amaran kepada mana-mana pemilik akaun media sosial yang masih menyebarkan dakwaan yang cuba mengaitkan anak guamnya dengan Zainal Abidin dan fahaman sesat tersebut.
Katanya, pihaknya juga sedang mengumpul bukti dan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa memfitnah anak guamnya.
“Kita akan buat keputusan untuk tindakan undang-undang kepada mana-mana individu yang membuat tomahan dan fitnah terhadap anak guam saya,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki dikenali sebagai Zainal Abidin Hassan mengaku sebagai penganut fahaman Qadiani.
Hal ini mencetuskan dakwaan bahawa Nasi Lemak Tanglin mempunyai kaitan dengan ajaran berkenaan.- MalaysiaGazette
















