JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor menggesa audit forensik menyeluruh dilaksanakan bersama-sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap terhadap semua projek pusat data yang sudah diluluskan, sedang dibina atau sudah beroperasi.
Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, tujuannya bagi memastikan tiada unsur rasuah, penyelewengan, kontrak tersembunyi atau pelanggaran syarat alam sekitar.
Pejuang Johor memandang serius isu integriti dan tadbir urus melibatkan industri pusat data apabila SPRM baru-baru ini menahan seorang pengurus kontrak berkaitan kes rasuah tender pembinaan pusat data bernilai RM180 juta di Johor.
“Serbuan tersebut menyaksikan rampasan wang tunai berjumlah RM7.5 juta termasuk cubaan memusnahkan hampir RM1 juta wang tunai dengan cara membakarnya.
“Insiden ini memberikan gambaran yang membimbangkan bahawa unsur rasuah dan penyelewengan mula mencemari pembangunan projek teknologi berskala besar di negeri ini,” katanya dalam kenyataan.
Pejuang Johor menegaskan, pembangunan yang dicemari rasuah akan melahirkan keputusan dasar yang mengutamakan keuntungan pihak tertentu berbanding kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Pihaknya memandang serius krisis bekalan air yang berkaitan dengan projek pusat data kerana semakin membimbangkan di negeri ini susulan penyusutan paras sungai, gangguan bekalan air berjadual serta ancaman pencemaran yang menjejaskan ratusan ribu pengguna.
Situasi itu membuktikan ekosistem air Johor berada dalam keadaan yang semakin rapuh dan berisiko tinggi.
Pejuang Johor berpandangan, tindakan membenarkan pertumbuhan pesat pusat data terlalu bergantung kepada sumber air dari Lembangan Sungai Johor tanpa perancangan jangka panjang yang mampan berpotensi mengancam sekuriti air rakyat pada masa hadapan.
Sehingga kini dakwanya, sebanyak 65 projek pusat data sudah diluluskan di Johor dengan nilai pelaburan keseluruhan mencecah RM164 bilion.
Namun demikian hanya sekitar 20 projek sudah siap dan beroperasi sepenuhnya dengan nilai pelaburan dianggarkan antara RM60 hingga RM70 bilion.
Angka itu ujar beliau, bermakna daripada keseluruhan RM110 bilion pelaburan Johor bagi tempoh 2024–2025, lebih separuh iaitu RM60-70 bilion datang daripada sektor pusat data sahaja.
“Nilai RM60–70 bilion ini bukan hanya melibatkan pembinaan bangunan pusat data, tetapi turut merangkumi pemasangan server dan rangkaian oleh syarikat global, kontrak sokongan teknikal seperti sistem UPS, generator, kabel fiber serta vendor tempatan dalam bidang pembinaan, elektrik, HVAC, keselamatan dan logistik.
“Namun, hasil langsung kepada kerajaan negeri tetap terhad kepada cukai tanah dan caj utiliti kerana pusat data tidak menghasilkan produk untuk pasaran tempatan,” katanya.
Daripada jumlah tersebut, kata Zainuddin, peluang pekerjaan yang diwujudkan hanya sekitar 4,000 hingga 6,000 jawatan berkemahiran tinggi dengan julat gaji antara RM2,500 hingga RM15,000 bergantung kepada kategori pekerjaan.
Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada manfaat ekonomi diterima rakyat Johor benar-benar setimpal dengan tekanan besar yang sedang dikenakan ke atas sumber air negeri, katanya.
Pejuang Johor turut mengakui komitmen kerajaan negeri yang sudah menetapkan piawaian Water Usage Efficiency (WUE) 1.8, sama seperti Singapura sebelum meluluskan projek baharu.
Kerajaan negeri juga sudah menghentikan kelulusan pusat data Tier 1 dan Tier 2 yang boleh menggunakan sehingga 50 juta liter air sehari, serta mengarahkan beberapa projek menggunakan teknologi alternatif seperti air kitar semula daripada loji kumbahan atau bekerjasama dengan Johor Special Water (JSW).
Walaupun langkah itu wajar dipuji, Pejuang Johor menegaskan penyelesaian lebih menyeluruh seperti penyejukan kering perlu diwajibkan bagi semua projek baharu.
Pada masa yang sama, kerajaan negeri perlu menghentikan kebergantungan mutlak kepada Sungai Johor sebagai nadi utama bekalan air industri dan mempercepatkan pembangunan sumber air alternatif khususnya di kawasan barat Johor.
“Kerajaan negeri perlu bertindak tegas dan berani sebelum Johor berdepan krisis air yang lebih besar pada masa hadapan. Jangan sampai seluruh rizab air negeri kering kontang hanya kerana kita terlalu ghairah mengejar angka pelaburan berbilion ringgit,” katanya.- MalaysiaGazette
















