SUNGAI PETANI – Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan reman terhadap pemandu lori yang terbabit dalam nahas mengorbankan enam sekeluarga di Kampung Baru Pinang Tunggal dekat sini semalam.
Permohonan reman terhadap lelaki berusia 49 tahun itu ditolak Majistret Mohamad Azlan Basri selepas permohonan tersebut dikemukakan pihak polis.
Polis semalam menahan pemandu lori bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sejurus enam sekeluarga maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terlibat nahas dengan lori berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga sebelum kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29; Nora Mhd Husin, 55; Jamaliah Sannusi, 27; Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21; Iskandar Affan, tujuh tahun serta seorang bayi berusia enam bulan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah memaklumkan ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori itu didapati negatif dadah selain lori dipandunya bergerak pada kelajuan kira-kira 60 kilometer sejam ketika kejadian.
“Bagaimanapun, semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai tujuh saman termasuk empat yang masih belum diselesaikan.
“Terdapat juga dakwaan yang mengaitkan kemalangan itu dengan kemungkinan masalah teknikal pada SUV Proton X50 yang baru diterima keluarga terbabit, namun semua aspek masih dalam siasatan.
“Kita akan menyiasat secara menyeluruh termasuk menghantar SUV tersebut ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette
















