KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) menyifatkan pendirian yang diambil Pas Pusat dalam memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai wajar dan bertepatan dengan keperluan semasa.
Ketuanya, Nuridah Salleh berkata, keputusan itu perlu diambil apabila kerjasama yang terjalin tidak lagi membantu ke arah memperluaskan penyatuan ummah, malah berdepan dengan pelbagai kekangan dan halangan tertentu.
Jelasnya, kerjasama antara Pas dan Bersatu selama ini dibina atas asas ta’awun siyasi yang berpaksikan prinsip saling membantu dalam perkara kebaikan serta demi kepentingan Islam dan ummah.
Sehubungan itu, ujar beliau, setiap bentuk kerjasama politik yang dijalin sewajarnya menjadi pemangkin kepada agenda yang lebih besar iaitu memperkukuhkan gagasan penyatuan ummah yang menjadi perjuangan utama Pas sejak sekian lama.
“Gagasan penyatuan ummah merupakan asas penting dalam membina kekuatan politik umat Islam dan rakyat yang cintakan kestabilan negara.
“Agenda ini terbukti mampu menjadi formula yang lebih kukuh dalam menghadapi cabaran politik semasa serta memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera menjelang pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh muslimat Pas di semua peringkat agar menerima keputusan ini dengan penuh ketaatan, kematangan dan jiwa yang besar.
Ujar Nuridah, sesungguhnya setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan pertimbangan yang terbaik demi maslahat perjuangan Islam, jemaah dan ummah.
“Insya-Allah, Pas akan terus istiqamah memperjuangkan Islam serta memperkukuhkan usaha penyatuan ummah demi masa depan negara yang lebih sejahtera dan diberkati Allah SWT,” katanya. – MalaysiaGazette
















