Aminul Izmeer Mohd Sohaimi menunjukkan rokok putih yang dirampas selepas sidang akhbar di Menara Kastam Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Taktik memalsukan pengikraran dagangan dalam sistem maklumat bagi membawa masuk base paper reels terbongkar selepas kastam menahan sebuah kontena di kawasan zon bebas, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri bulan lalu.

Pemeriksaan fizikal kira-kira jam 2.30 petang pada 18 Mei lalu itu dilakukan atas maklumat risikan Cawangan Risikan Zon Selatan, sepasukan anggota Unit Kawalan Kontena (CCU), Cawangan Penguatkuasaan Gelang Patah.

Pengarah Kastam negeri, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, pemeriksaan kontena berukuran 40 kaki di sebuah gudang bersama-sama wakil syarikat penghantaran menjumpai rokok putih pelbagai jenama disyaki tidak bercukai.

“Berdasarkan semakan awal, kontena tersebut diikrarkan melalui borang Kastam No. 6, Manifest Transhipment sebagai membawa barang dagangan Base Paper Reels. Kontena berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Vietnam ke United Kingdom.

“Hasil pemeriksaan mendapati jumlah rokok putih yang disita sebanyak 9,320,000 batang dengan anggaran nilai sebanyak RM2,143,600 manakala anggaran duti dan cukai terlibat RM6,365,000.

“Keseluruhan nilai sitaan termasuk duti dan cukai adalah dianggarkan RM8,509,160,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan sindiket yang terlibat serta pemilik premis gudang berkenaan sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah dengan membuat pengikraran tidak benar ke atas dagangan bagi tujuan menyeludup rokok tak berkastam.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat perakuan tidak benar di mana jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama didenda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast