GEORGE TOWN – Polis menumpaskan dua sindiket call centre yang menjalankan penipuan pelaburan tidak wujud dengan menyasarkan mangsa dari Singapura dan China menerusi dua serbuan berasingan di Butterworth dan Batu Feringgi, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata, dalam serbuan pertama sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menyerbu sebuah premis di sekitar Butterworth.
Beliau berkata, hasil serbuan itu, polis menahan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 36 tahun yang dipercayai terbabit dalam aktiviti call centre bagi mempromosikan pelaburan tidak wujud secara dalam talian menggunakan platform media sosial Tantan.
“Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah lima telefon bimbit, tiga komputer riba, satu modem, satu kad akses dan satu unit kunci rumah yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Azizee berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Timur Laut turut menyerbu sebuah premis di sekitar Batu Feringgi yang dijadikan pusat operasi sindiket penipuan pelaburan pertukaran mata wang USDT (kripto) yang menyasarkan mangsa dari China.
“Serbuan itu membawa kepada penahanan lima warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 46 tahun yang disyaki menjalankan kegiatan call centre bagi tujuan penipuan pelaburan dan pertukaran mata wang kripto tidak wujud secara dalam talian.
“Polis turut merampas 10 telefon bimbit, empat komputer riba, satu unit CPU, dua papan kekunci, tiga tetikus, satu router dan satu monitor yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut.
“Kesemua tangkapan bagi kedua-dua kes itu akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B akta sama,” katanya.
Tambah Azizee, kejayaan kedua-dua operasi itu membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam membanteras sindiket penipuan dalam talian yang menggunakan platform media sosial dan aplikasi komunikasi bagi memperdaya mangsa termasuk dari luar negara.
“Justeru saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat serta membuat semakan terlebih dahulu terhadap syarikat, platform atau individu yang menawarkan pelaburan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette
















