Ab Rahaman Arsad menunjukkan barang kemas yang dirampas daripada suspek samun yang menyasarkan lelaki gay pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Sekumpulan lelaki menyasarkan lelaki dan wanita bernafsu songsang untuk disamun menerusi aplikasi atau rangkaian sosial temu janji dalam kalangan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kegiatan tersebut terbongkar apabila sembilan lelaki warga tempatan dipercayai ‘gay’ berusia 25 hingga 40 tahun dicederakan dan kerugian lebih RM300,000 selepas disamun.

Menurutnya, semua mereka disamun dalam kejadian berasingan di bandar raya ini dari Januari hingga Mei lalu.

“Polis Johor menerima sembilan laporan polis dari sembilan mangsa berbeza yang mendakwa disamun suspek iaitu sekumpulan lelaki warga tempatan.

“Kejadian didakwa berlaku di sekitar kawasan Taman Pelangi dan Kampung Majidee yang membabitkan jumlah kerugian keseluruhan sejumlah RM315,220.

“Suspek menggunakan suatu aplikasi untuk mencari mangsa dan mengajak mangsa untuk bertemu dalam kereta suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika mangsa dan suspek berada dalam kereta, rakan suspek akan menyamar sebagai pengawal keselamatan kawasan itu dan mengugut dengan menuduh mangsa melakukan aktiviti tidak sopan dalam kereta di tempat awam.

“Mangsa kemudiannya dicederakan dan barang peribadi mangsa seperti kad bank, barang kemas dan wang tunai dalam simpanan mangsa dirampas.

“Suspek mendapatkan kata laluan kad bank milik mangsa sebelum mengeluarkan wang dari akaun bank serta membuat pembelian barang kemas, kemudian mangsa akan dilepaskan,” katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pukul 11.30 pagi pada 30 Mei lalu polis IPD Johor Bahru Selatan membuat tangkapan ke atas lima suspek warga tempatan berusia 21 hingga 28 tahun di kawasan Brinchang, Cameron Highland, Pahang.

Menurutnya, turut dirampas daripada suspek adalah beberapa telefon bimbit, sebuah kereta Perodua Bezza, sehelai resit pembelian emas, lima keping kad debit, empat utas rantai emas, empat pasang subang telinga, dua bentuk cincin emas dan dua gelang tangan emas.

Katanya, semakan rekod jenayah lampau mendapati kesemua suspek memiliki rekod jenayah samun dan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek berkeputusan negatif. Tahanan reman ke atas semua suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara jenayah dibenarkan sehingga 15 Jun.

“Hasil siasatan mendapati keterangan yang diperolehi adalah konsisten dengan kejadian samun sebagaimana yang dilaporkan oleh kesemua mangsa,” katanya.

Kertas siasatan katanya, dilengkapkan dan dirujuk ke pejabat pendakwaan negeri Johor dan dipersetujui untuk menuduh tiga suspek bersabit tujuh kes setiap seorang di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi suspek akan menjadi saksi pendakwaan.

Jika disabit kesalahan, ketiga-tiga suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 20 tahun dan dikenakan denda atau sebatan, katanya.

Pihaknya juga sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang jenayah yang mengancam keselamatan awam dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah menerusi talian hotline Polis Johor 019-2792095 atau Bilik Gerakan 07-2212999. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast