Wartawan Malaysia Gazette Kelantan, Muhammad Rofiqiaiman Mohd Rosid (dua dari kanan) menerima hadiah daripada Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

KUALA LUMPUR – Malaysia Gazette (MG) berjaya merangkul tempat pertama Anugerah Media Kelantan 2025 pada Majlis Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 peringkat Kerajaan Negeri Kelantan di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana dekat Kota Bharu, Kelantan di sini semalam.

Wartawan Malaysia Gazette Kelantan, Muhammad Rofiqiaiman Mohd Rosid memenangi tempat pertama bagi kategori Anugerah Media Kelantan 2025 Berita TV Terbaik menerusi laporan bertajuk ‘Redah Lautan Banjir Hantar Bantuan Makanan di Tumpat’.

Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta plak dengan hadiah disampaikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Sementara itu, Muhammad Rofiqiaiman melahirkan rasa gembira dan tidak menyangka menerima pengiktirafan tertinggi bagi kategori Berita TV Terbaik pada malam anugerah tersebut.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang mengiktiraf laporan berita yang saya sediakan serta berterima kasih kepada MalaysiaGazette yang menyediakan platform kepada saya untuk berkongsi laporan berita tersebut.

“Kemenangan ini sedikit sebanyak menyuntik semangat saya untuk terus berkarya dan menghasilkan laporan berita yang lebih baik pada masa depan,” katanya.

Sebanyak 91 pencalonan diterima sepanjang tempoh penyertaan dari 10 hingga 14 Mei lalu untuk bersaing dalam sembilan kategori yang merangkumi bidang akhbar, televisyen, fotografi dan radio.

Kategori yang dipertandingkan ialah Berita Akhbar Bahasa Melayu Terbaik, Laporan Khas Akhbar Bahasa Melayu Terbaik, Berita Akhbar Bukan Bahasa Melayu Terbaik, Berita TV Terbaik, Laporan Khas TV Terbaik, Visual TV Terbaik, Gambar Berita Terbaik, Penyampai Radio Kerajaan Terbaik dan Penyampai Radio Swasta Terbaik, siaran sepanjang tahun 2025.

Dalam pada itu, ketika berucap merasmikan program tersebut, Mohd Nassuruddin Daud berkata, pengamal media perlu terus mempertahankan integriti dan etika kewartawanan agar kekal menjadi sumber maklumat yang dipercayai rakyat dalam era ledakan maklumat serta perkembangan teknologi digital yang semakin mencabar.

Menurut beliau, kepercayaan masyarakat merupakan aset paling berharga dalam dunia kewartawanan kerana tanpa keyakinan rakyat, sesuatu laporan tidak lagi mampu membawa pengaruh dan mencapai matlamatnya.

Beliau berkata, masyarakat bukan sahaja mengharapkan maklumat disampaikan dengan pantas, malah lebih penting laporan yang diterbitkan mestilah tepat, sahih dan berintegriti.

“Dalam era ledakan maklumat hari ini, para pengamal media khususnya wartawan memikul tanggungjawab besar untuk memastikan setiap laporan yang disiarkan berasaskan fakta yang benar serta dapat dipertanggungjawabkan.

“Nilai keyakinan dan kepercayaan merupakan aset paling berharga dalam dunia kewartawanan. Hanya dengan kepercayaan masyarakat, sesuatu berita akan mencapai tujuan dan matlamatnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast