JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mendesak Kerajaan Negeri Johor untuk melakukan semakan menyeluruh terhadap keberkesanan Bantuan Kasih Johor (BKJ).
Ketua Penerangan Pejuang Johor Suraya Sulaiman berkata, satu model bantuan yang lebih dinamik, berstruktur dan berasaskan data diperlukan seperti sistem Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi memastikan tiada golongan yang layak tercicir daripada menerima bantuan.
“Bantuan yang diberikan juga perlu mengambil kira realiti ekonomi semasa yang dihadapi rakyat Johor, khususnya mereka yang tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar yang terkesan secara langsung dengan limpahan ekonomi Singapura.
“Bagi memastikan bantuan kebajikan benar-benar berkesan, Pejuang Johor mencadangkan pangkalan data BKJ diintegrasikan dengan sistem PADU atau STR bagi memastikan pengagihan bantuan lebih tepat sasaran, telus dan automatik tanpa kerenah birokrasi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, selain itu, kerajaan negeri perlu mewujudkan Indeks Kos Sara Hidup Tempatan khusus untuk Johor Bahru bagi menentukan nilai bantuan BKJ berdasarkan realiti harga barang dan perkhidmatan setempat, bukan berpandukan purata nasional semata-mata.
Pejuang Johor turut mencadangkan pelaksanaan sistem Baucer Digital dan Kad Kasih yang boleh digunakan di kedai-kedai runcit tempatan bagi mendapatkan barangan keperluan asas, sekali gus membantu mengurangkan beban aliran tunai harian keluarga yang memerlukan.
Pihaknya juga ingin menegaskan bahawa rakyat tidak seharusnya beratur panjang untuk mendapatkan bantuan yang menjadi hak mereka.
“Dalam era pendigitalan dan integrasi data hari ini, bantuan kebajikan mesti disampaikan secara lebih cekap, pantas dan mesra rakyat, katanya.
Kerajaan ujarnya, perlu memastikan proses permohonan, kelulusan dan penyaluran bantuan dipermudahkan supaya rakyat tidak terus dibebankan dengan prosedur yang rumit dan memakan masa.
“Kita tidak boleh sekadar memberi bantuan secara sekali beri atau bersifat sementara. Johor memerlukan sistem sokongan sosial yang mampan, responsif dan mampu bertindak sebagai jaring keselamatan ekonomi yang kukuh kepada rakyat.
“Setiap sen peruntukan awam mesti diuruskan dengan data yang tepat dan tadbir urus yang baik bagi memastikan impak maksimum kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Sudah tiba masanya kata beliau, bantuan kebajikan di Johor berevolusi daripada sekadar bantuan ehsan kepada satu sistem perlindungan sosial yang moden, berkesan dan mampu menjamin kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.
Jelasnya, fenomena kenaikan kos sara hidup di daerah ini sebenarnya memerlukan pendekatan yang lebih pintar dan sistematik.
Sebagai sebuah bandar raya yang bersempadan dengan Singapura katanya, Johor tidak boleh menafikan bahawa limpahan ekonomi negara jiran menyebabkan harga barangan ruji dan keperluan harian di sini melambung tinggi, namun kadar gaji rakyat tempatan masih tidak sepadan.
Dakwanya, rakyat di Johor Bahru kini berdepan dengan realiti perit apabila terpaksa membayar harga makanan dan keperluan pada kadar yang menghampiri kos bandar raya antarabangsa, sedangkan pendapatan mereka masih dalam nilai mata wang tempatan statik.
Kehadiran kuasa beli tinggi dari luar sememangnya memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negeri, katanya.
Namun pada masa sama tambahnya, mencetuskan tekanan inflasi tempatan yang semakin membebankan keluarga bekerja, khususnya dalam kalangan B40 dan M40. – MalaysiaGazette
















