PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan diberi tempoh tiga bulan untuk menyerahkan notis rayuan secara persendirian kepada Muhammed Yusoff Rawther sebelum rayuan terhadap pembebasan bekas pembantu penyelidik ahli politik itu didengar oleh Mahkamah Rayuan.
Muhammed Yusoff berada di United Kingdom (UK) sejak tahun lalu dan dilaporkan telah memohon suaka hak asasi manusia untuk mendapat perlindungan dari negara berkenaan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azman Abdullah berkata, pihak pendakwaan perlu mematuhi Seksyen 314 Kanun Prosedur Jenayah iaitu notis rayuan diserahkan sendiri kepada responden sebelum rayuan didengar di mahkamah.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid dan K. Muniandy menetapkan 8 September ini untuk sebutan bagi mengetahui perkembangan sama ada notis rayuan berjaya diserahkan sebelum panel itu memutuskan status rayuan didengar atau sebaliknya.

Hakim Azman menyatakan, mahkamah perlu berpuas hati usaha yang telah dilakukan untuk menyempurnakan penyerahan notis rayuan secara fizikal kepada Muhammed Yusoff yang kini berada di UK.
Ujarnya, panel itu telah meneliti surat daripada responden yang menyatakan dia telah memohon suaka hak asasi manusia manakala pasportnya kini ditahan oleh kerajaan itu bagi menyokong permohonannya.
Menurut Hakim Azman, permohonan pendakwaan bahawa prosiding rayuan didengar secara zoom, adalah tidak mencukupi.
“Oleh yang demikian, mahkamah berpendirian, pihak pendakwaan perlu mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan notis rayuan diserahkan secara persendirian terlebih dahulu.
“Mahkamah memberikan tarikh baharu dan pihak pendakwaan perlu melaksanakan segala usaha dan kaedah sebelum panel ini menentukan rayuan ini diteruskan atau sebaliknya,” ujar Hakim Azman.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah memaklumkan, notis rayuan masih tidak dapat diserahkan manakala rekod Jabatan Imigresen menunjukkan Muhammed Yusoff telah meninggalkan negara ini dan tiada rekod menunjukkan responden masuk semula ke Malaysia.
Menurut beliau, pihak pendakwaan telah berusaha untuk menyerahkan notis rayuan dua minggu lalu, namun dimaklumkan bahawa Muhammed Yusoff telah ke luar negara sejak tahun lalu.
Katanya, pendakwaan berhasrat meneruskan rayuan walaupun tanpa kehadiran Muhammed Yusoff seperti yang berlaku dalam prosiding melibatkan Sirul Azhar Umar.
Pada peringkat itu, panel tersebut membayangkan implikasi jika mahkamah membenarkan rayuan pendakwa raya dan memanggil Muhammed Yusoff membela diri, bagaimana ia boleh dilakukan walhal responden tidak mahu pulang ke negara ini.
Mohd. Asnawi berkata, mahkamah boleh membuat perintah untuk menahannya atau melaksanakan urusan secara diplomatik.
“Ini peringkat rayuan, kalau mahkamah memutuskannya membela diri, baru urusan dibuat untuk memanggilnya balik,” ujarnya.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili responden berkata, anak guamnya mempunyai pengetahuan mengenai rayuan selepas notis difailkan pendakwaan pada 16 Jun tahun lalu.
Peguam mengesahkan anak guamnya tidak menerima notis rayuan secara fizikal dan hanya mengetahui pada 1 Jun lalu bahawa responden tidak dapat kembali ke sini kerana pasportnya berada dalam simpanan kerajaan UK.
“Jadi adalah mustahil untuk anak guam saya kembali ke sini meskipun dia mengetahui bahawa rayuan telah dikemukakan berhubung pembebasannya,” ujar beliau.
Panel berkenaan sepatutnya mendengar rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan Muhammed Yusoff daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.
Pada 12 Jun tahun lalu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian tanpa memanggilnya membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.
Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan yang dinaikinya di hadapan surau IPK Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa atas pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini pada 9.25 pagi, 6 September tahun sama.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















