JOHOR BAHRU – Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di sini memberi perlindungan dan bantuan kepada dua pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa penderaan fizikal majikan mereka di Johor.
KJRI dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua wanita berkenaan yang dikenali sebagai YY dan SH ditempatkan di kediaman sementara KJRI untuk tindakan lanjut.
“Sebelum ini kami dimaklumkan kes mereka pada 13 Jun lalu daripada seorang warga Indonesia, yang dikenal pasti sebagai YY melaporkan keganasan fizikal terhadapnya dan dua warga Indonesia lain, YA dan SH.
“Mereka bekerja sebagai pembantu rumah di Johor. Berdasarkan maklumat diterima, ketiga-tiga wanita itu didakwa kerap diseksa majikan ketika bekerja” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihaknya dimaklumkan kejadian juga berlaku pada akhir 2025 dan Januari 2026.
KJRI berkata, selepas kejadian itu, mangsa ditinggalkan oleh majikan mereka di Kampung Melayu Majidee di sini.
Menurutnya, disebabkan ingin terus bekerja di Malaysia, ketiga-tiga warga Indonesia itu kemudiannya berpisah.
“YA menuju ke Kuala Lumpur, manakala YY dan SH kekal di Johor,” katanya.
Jelas kenyataan itu, ketiga-tiga wanita itu didapati bekerja di Malaysia secara tidak sah dan tiada permit kerja yang sah.
Menurut KJRI, pasport mereka juga masih dipegang oleh majikan hingga menyebabkan mereka bimbang untuk melaporkan dakwaan penderaan itu.
Bagaimanapun akhirnya YY memutuskan untuk melaporkan kesengsaraan dialaminya kepada KJRI.
“Susulan laporan itu, KJRI di Johor Bahru segera bekerjasama dengan polis dan memfailkan aduan.
“Berdasarkan maklumat diterima, pihaknya menerima maklumat bahawa pada 13 Jun lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menahan empat individu yang disyaki terbabit dalam kes terbabit,” tambah kenyataan berkenaan.
Semalam portal ini melaporkan pasangan suami isteri ditahan polis bagi membantu siasatan mencederakan pembantu rumah di sebuah kediaman di Taman Johor, Tampoi di sini.
Polis menahan empat suspek berusia antara 30 hingga 34 tahun, kira-kira 7.30 petang kelmarin untuk siasatan lanjut.- MalaysiaGazette
















