Anggota bomba ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat lelaki Indonesia lemas di kawasan lombong Plot 12, Jalan Kota Tinggi Kluang semalam.

KOTA TINGGI – Seorang lelaki warga Indonesia lemas ketika mandi di kawasan lombong di Plot 12, Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini semalam.

Dalam kejadian tersebut, mangsa, Sudarwanto, 32, ditemui sudah meninggal dunia di dasar lombong berkenaan selepas dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara, Pegawai Bomba Tinggi II Bahtiar Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pukul 5.59 petang.

“Sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua logistik Hilux dengan lima anggota dari BBP Bandar Tenggara segera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, pemeriksaan berdasarkan maklumat saksi mengesahkan terdapat seorang mangsa telah lemas dalam lombong berkenaan.

“Pihak Pusat Gerakan Operasi (PGO) kemudian mengarahkan bantuan daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Skudai dan BBP Penawar bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pencarian dalam air berdepan cabaran ekoran faktor fizikal lombong berkenaan.

Jelasnya, jarak penglihatan dalam air adalah sifar selain keadaan dasar lombong yang berselut tebal.

“Malah terdapat juga lubang di dasar lombong yang dianggarkan sedalam 10 meter,” katanya.

Menurutnya, pihak bomba menggunakan kaedah pencarian windshield wiper search pattern sebelum mangsa berjaya ditemui pada pukul 9.25 malam tadi.

“Mangsa ditemui di kawasan tengah lombong pada kedalaman kira-kira 11 meter, namun disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya kata beliau, berjaya dikeluarkan dari lombong dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.50 malam.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast