Sebuah dewan belajar di Madrasah Tahfiz Riyaadul Muhsineen, Felda Bukit Aping Timur di Kota Tinggi musnah dalam kebakaran malam tadi.

KOTA TINGGI – Sebuah dewan belajar di Madrasah Tahfiz Riyaadul Muhsineen, Felda Bukit Aping Timur dekat sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Bagaimanapun kebakaran di pusat tahfiz berkenaan tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Kanan 1, Mohd Syukri Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 3.43 pagi.

“Seramai 17 anggota dibantu dua jentera Fire rescue Tender (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah utiliti dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 26 kilometer.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah dewan belajar satu tingkat jenis kekal di pusat tahfiz berkeluasan lebih kurang 40 kaki x 70 kaki x 12 kaki.

“Kebakaran melibatkan struktur bangunan dan dianggar memusnahkan 50 peratus daripada keseluruhan bangunan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal pukul 5.30 petang dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudian.

Tambahnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian kebakaran masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast