SETIAP tahun, bulan Jun membawa makna tersendiri kepada komuniti marin di seluruh dunia. Sambutan Hari Kesedaran Terumbu Karang Sedunia pada 1 Jun, Hari Lautan Sedunia pada 8 Jun dan Hari Segi Tiga Terumbu Karang pada 9 Jun menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara lautan serta ekosistem marin yang semakin terancam.
Sambutan ini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi peringatan bahawa lautan yang meliputi lebih 70 peratus permukaan bumi sedang berdepan pelbagai cabaran. Perubahan iklim, pencemaran plastik, penangkapan ikan secara berlebihan serta pembangunan pesisir pantai yang tidak terkawal semakin memberi tekanan kepada ekosistem marin yang menjadi sumber kehidupan manusia.
Bagi Malaysia yang dikelilingi Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut Sulawesi, kesihatan lautan mempunyai hubungan langsung dengan kesejahteraan ekonomi, keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar. Jutaan rakyat bergantung kepada sumber marin melalui sektor perikanan, pelancongan dan pengangkutan.
Berbicara mengenai kesihatan lautan, terumbu karang sering menjadi tumpuan utama. Digelar sebagai “hutan hujan lautan”, terumbu karang memainkan peranan penting dalam menyokong biodiversiti marin. Walaupun meliputi kurang daripada satu peratus dasar laut dunia, ekosistem ini menjadi habitat kepada hampir 25 peratus spesis hidupan marin.
Selain menjadi kawasan perlindungan dan pembiakan pelbagai spesis ikan, krustasea dan moluska, terumbu karang turut berfungsi sebagai benteng semula jadi yang mengurangkan impak ombak besar serta hakisan pantai. Peranannya amat penting dalam melindungi komuniti pesisir daripada ancaman bencana alam.
Malaysia bertuah kerana memiliki antara ekosistem terumbu karang terkaya di rantau Indo-Pasifik. Kawasan seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah, Pulau Tioman serta perairan Sabah dan Sarawak terkenal dengan kepelbagaian spesis karang dan hidupan marin yang tinggi.
Namun, khazanah alam ini semakin terancam akibat perubahan iklim global. Peningkatan suhu permukaan laut menyebabkan fenomena pemutihan karang berlaku dengan lebih kerap dan meluas. Apabila suhu laut meningkat melebihi paras normal dalam tempoh tertentu, karang kehilangan alga simbiotik yang menjadi sumber makanan dan warna semula jadinya. Akibatnya, karang bertukar putih dan berisiko mati sekiranya tekanan haba berterusan.
Fenomena pemutihan karang yang berlaku di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini dianggap antara yang paling serius dalam sejarah. Malaysia turut menerima tempiasnya apabila beberapa kawasan terumbu karang, khususnya di pantai timur Semenanjung turut menunjukkan tanda-tanda tekanan ekologi yang semakin membimbangkan.
Menyedari kepentingan terumbu karang kepada kelangsungan ekosistem laut, pelbagai usaha pemuliharaan sedang dilaksanakan oleh institusi penyelidikan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Antara pendekatan yang semakin mendapat perhatian ialah penggunaan teknologi cryopreservation atau pembekuan kriogenik yang membolehkan bahan genetik karang seperti sperma, telur dan larva disimpan pada suhu ultra rendah bagi tujuan pemulihan populasi pada masa hadapan.

Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Lee Jen Nie berkata, usaha menyelamatkan karang perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang demi kelangsungan ekosistem marin.
“Misi kami bukan sahaja untuk memelihara karang pada hari ini, tetapi juga membina asas bagi penyelidikan masa hadapan dan pemuliharaan terumbu karang yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.
Menurut beliau, UMT kini mengendalikan kemudahan cryobank larva karang pertama di Malaysia, sekali gus menjadi pencapaian signifikan dalam usaha pemuliharaan terumbu karang negara.
UMT juga merupakan rakan strategik utama dalam projek serantau Coral Conservation Capacity Development in the Coral Triangle: A Cryorepository Network for Coral Larvae yang menghimpunkan institusi penyelidikan dari Malaysia, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Thailand. Inisiatif yang mendapat sokongan Coral Research & Development Accelerator Platform (CORDAP) serta Marine Environment and Resources Foundation itu bertujuan mewujudkan rangkaian cryobank larva karang pertama di kawasan Segi Tiga Terumbu Karang, iaitu antara kawasan biodiversiti marin paling penting di dunia.
Dr. Lee Jen Nie menjelaskan penyelidikan awal memberi tumpuan kepada karang daripada famili Pocilloporidae, iaitu spesis pembina terumbu yang berkembang pesat dan berpotensi tinggi untuk program rehabilitasi terumbu karang.
“Sepanjang tahun 2025, sebanyak 4,963 planulae karang direkodkan daripada koloni yang dipantau. Menjelang Mei 2026, jumlah itu meningkat kepada 5,184 planulae, menunjukkan perkembangan positif dalam usaha pemantauan pembiakan dan pengumpulan larva karang,” katanya.
Selain pembangunan cryobank, usaha pemuliharaan turut merangkumi program penanaman semula karang, pemantauan saintifik jangka panjang, pembangunan kawasan perlindungan marin serta penyelidikan berkaitan daya tahan karang terhadap perubahan iklim. Program pendidikan dan kesedaran awam juga terus diperkasakan bagi membentuk sikap masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap pemeliharaan lautan.
Hakikatnya, pemuliharaan karang bukan sekadar menyelamatkan struktur batu kapur di dasar laut. Ia melibatkan usaha melindungi keseluruhan rangkaian kehidupan marin yang menjadi sumber makanan, ekonomi dan kesejahteraan manusia.
Sempena pelbagai sambutan berkisar marin yang diraikan pada Jun, masyarakat perlu melihat lautan sebagai warisan bersama yang wajib dipelihara. Apa yang berlaku kepada terumbu karang hari ini akan menentukan keadaan lautan pada masa hadapan.
Sekiranya usaha pemuliharaan terus diperkukuh dan tindakan menangani perubahan iklim dipergiatkan, masih ada harapan untuk memastikan generasi akan datang dapat mewarisi lautan yang sihat, kaya dengan biodiversiti dan terus menjadi sumber kehidupan kepada manusia serta alam sejagat.
Oleh: Amirul Salam Hasan
Pegawai Perhubungan Awam di Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu.
















