Datuk Seri Ronald Kiandee.

KUALA LUMPUR – Kedudukan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang disifatkan kekal utuh selepas menerima sokongan majoriti ahli Parlimen pembangkang, termasuk sokongan padu daripada Pas seperti diumumkan Presiden Pas ketika Konvensyen RESET Malaysia, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Beluran, Dr Ronald Kiandee berkata, pengumuman tersebut sekali gus merungkai polemik berhubung kedudukan Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia dan memberikan legitimasi yang jelas kepada Hamzah untuk terus memimpin blok pembangkang.

Menurut beliau, sokongan kolektif daripada Ahli Parlimen Pas bukan sekadar pendirian politik, malah merupakan langkah memperkukuh struktur semak dan imbang Parlimen berteraskan amalan demokrasi.

“Berdasarkan sistem Westminster dan konvensyen negara-negara Komanwel serta situasi penjajaran politik semasa, pelantikan Ketua Pembangkang adalah bersandarkan kepada sokongan majoriti ahli Parlimen pembangkang dan tidak tertakluk kepada keputusan dalaman sesebuah parti politik semata-mata.

“Dalam situasi hubungan antara Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional pada hari ini, kedudukan Ketua Pembangkang sewajarnya ditentukan oleh ahli Parlimen pembangkang sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, asas perundangan berkaitan perkara itu termaktub di bawah Peraturan 4A(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menetapkan seseorang Ahli Parlimen menjadi Ketua Pembangkang kerana memimpin “Kumpulan Pihak Pembangkang” secara keseluruhan dan bukannya berdasarkan hierarki atau keahlian dalam sesebuah parti politik.

Tambahnya, Peraturan 4A(4) pula memperuntukkan kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mengesahkan dan menentukan Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang secara muktamad dan konklusif.

Sehubungan itu, Ronald menegaskan, kedudukan Hamzah tidak boleh dipertikaikan memandangkan beliau terus mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen daripada Pas secara sokongan padu serta majoriti Ahli Parlimen Bersatu.

“Dengan sokongan yang jelas daripada kedua-dua komponen utama pembangkang itu, kedudukan beliau adalah utuh dan tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana ketetapan dalaman parti,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast