KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu membidas kenyataan seorang senator DAP berhubung institusi pendidikan awam dan pengembangan Islam dengan menyifatkannya sebagai bertentangan dengan semangat Perlembagaan serta berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
Datuk Razali Idris mendakwa kenyataan berkenaan bukan sahaja mengabaikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan malah boleh ditafsir sebagai cubaan mengecilkan ruang yang selama ini diberikan kepada aktiviti pengajian dan dakwah Islam di institusi awam.
“Kenyataan Senator DAP bahawa institusi pendidikan awam tidak boleh menjadi tempat pengembangan Islam jelas bercanggah dengan semangat dan kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada kata-kata Senator DAP, RA Lingeshwaran yang dilaporkan menggesa siasatan dijalankan terhadap poster pendaftaran saudara baharu (mualaf) yang dikaitkan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Razali dalam pada itu berkata, Islam mempunyai kedudukan yang jelas dalam Perlembagaan dan aktiviti dakwah yang dijalankan secara sukarela, berhemah serta mematuhi undang-undang tidak pernah menjadi isu dalam sistem pendidikan negara.
“Islam adalah agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perkara 3(1), manakala aktiviti dakwah yang dilaksanakan secara berhemah, sukarela dan mematuhi undang-undang adalah hak yang dijamin Perlembagaan. Institusi pendidikan awam sejak sekian lama menyediakan ruang pengajian, penghayatan dan pengembangan Islam tanpa pernah menafikan hak penganut agama lain,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan asas dakwaan yang cuba menggambarkan sekolah dan universiti awam sebagai medan paksaan agama sedangkan perkara itu tidak pernah dibuktikan secara jelas.
“Cubaan menggambarkan seolah-olah sekolah dan universiti awam menjadi medan paksaan atau manipulasi agama adalah tuduhan tidak berasas yang hanya mengundang syak wasangka serta menggugat keharmonian masyarakat majmuk,” katanya.
Menurut Razali, menghormati kepelbagaian agama tidak bermakna kedudukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan boleh dipersoalkan atau dihadkan atas alasan sensitiviti kaum dan agama.
“Menghormati kepelbagaian agama tidak bermaksud menafikan kedudukan Islam. Keharmonian negara dibina atas prinsip saling menghormati hak yang dijamin Perlembagaan, bukannya dengan mengecilkan ruang Islam di institusi awam,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang mengulas isu agama perlu lebih bertanggungjawab kerana kenyataan yang dibuat secara melulu boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap hubungan antara kaum dan agama di negara ini.
“Senator DAP perlu lebih bertanggungjawab dan tidak bermain dengan isu agama demi meraih sokongan politik sempit,” katanya. – MalaysiaGazette
















