SEBERANG JAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada setiap kelab media negeri yang menjadi ahli Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM).
Beliau berkata, sumbangan itu diberikan kepada semua kelab media negeri yang kini menjadi ahli GKMN bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program mereka.
“Untuk setiap kelab media negeri, saya akan sumbangkan sebanyak RM10,000 manakala untuk GKMM, tahun-tahun sebelum ini saya pernah beri, tetapi tahun ini saya beri RM30,000.
“Sumbangan berkenaan diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada pengamal media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemukiman Media Malaysia 2.0 bersama GKMM di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau menyambut baik langkah GKMM yang berhasrat membuka ruang keanggotaan kepada lebih banyak kelab media untuk bersama gabungan berkenaan.
Menurutnya, GKMM merupakan wadah penting dalam membawa suara pengamal media, mengangkat isu kebajikan serta mengetengahkan harapan dan masa depan wartawan di negara ini.
“Kerajaan juga mahu melibatkan pengamal media dengan lebih rapat dalam pelbagai perkara berkaitan industri media termasuk aspek pelaporan dan pembangunan sektor berkenaan.
“Justeru kita memohon kerjasama syarikat media supaya mengelakkan langkah pengurangan pekerja dan meminta perkara itu dimaklumkan sekiranya sesebuah organisasi berdepan masalah sehingga terpaksa mempertimbangkan tindakan berkenaan.
“Ini kerana Kementerian Komunikasi komited untuk memastikan pekerjaan wartawan dapat dikekalkan walaupun berdepan perkembangan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI),” katanya. – MalaysiaGazette
















