Liew Chin Tong.

KUALA LUMPUR – Malaysia kini berada di persimpangan antara meneruskan legasi politik autoritarian pasca-1969 atau memperkukuh demokrasi pelbagai kaum yang menjadi aspirasi reformasi sejak 1998, kata Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong.

Menurut beliau, peristiwa 13 Mei 1969 menjadi titik perubahan besar dalam sejarah negara apabila ia menamatkan era pentadbiran Perikatan dan membawa kepada pembentukan tatanan politik baharu di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Chin Tong berkata, selepas tragedi itu, Tun Razak memperkenalkan beberapa perubahan penting termasuk penubuhan Barisan Nasional, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), dasar luar berkecuali serta pentadbiran yang lebih berpusat dan tegas.

Langkah tersebut, katanya, bertujuan membina semula negara dan mengatasi ketidakseimbangan ekonomi serta ketegangan kaum yang menjadi antara punca utama rusuhan 1969.

“Tun Razak dan Tun Dr Ismail Abdul Rahman pada asalnya melihat pendekatan tersebut sebagai langkah sementara sehingga matlamat DEB tercapai namun struktur pentadbiran yang lebih autoritarian berterusan melepasi tahun 1990.

“Dekad 1990-an menyaksikan kemunculan generasi baharu pemimpin dan idea yang lebih progresif menerusi Wawasan 2020, konsep Bangsa Malaysia serta gagasan Melayu Baru yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ketika itu, rakyat terutama golongan muda mempunyai keyakinan tinggi terhadap masa depan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, katanya, Krisis Kewangan Asia 1997 dan pemecatan Anwar pada 1998 menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara manakala kemunculan China sebagai kuasa ekonomi global selepas menyertai WTO pada 2001 menyebabkan Malaysia semakin terpinggir dalam persaingan pelaburan antarabangsa.

Tambahnya,  penubuhan Parti Keadilan Nasional (PKR) oleh Anwar pada 1999 menjadi titik penting kepada perjuangan politik pelbagai kaum yang menawarkan alternatif kepada sistem politik lama berasaskan pemerintahan autoritarian.

Beliau turut menyifatkan, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018 sebagai detik bersejarah apabila rakyat menolak tatanan politik lama susulan skandal 1MDB yang mencetuskan kemarahan dan rasa malu di peringkat global.

Katanya, sehingga kini masih terdapat usaha untuk menghidupkan semula pendekatan politik lama namun rakyat perlu menentukan hala tuju negara menjelang ulang tahun ke-70 kemerdekaan tahun depan.

“Rakyat Malaysia perlu membuat pilihan antara wawasan lama pasca-1970 yang berteraskan autoritarianisme atau aspirasi reformasi yang menjunjung demokrasi, kepelbagaian kaum dan keadilan untuk semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast