KUALA LUMPUR – Exco Pengajian Tinggi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah mengesahkan beliau akan berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Seremban esok, berhubung isu akses pendidikan yang dibangkitkan beliau sebelum ini.
Menurutnya, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada proses perundangan dan akan terus bersuara sehingga kebenaran ditegakkan serta peluang pendidikan yang adil untuk anak-anak Malaysia tanpa mengira bangsa terbela.
“Saya akan hadir ke Mahkamah Majistret Seremban pada 25 Jun 2026 jam 9.00 pagi bagi menghadapi pertuduhan yang berkaitan dengan isu akses pendidikan tinggi yang saya bangkitkan demi mempertahankan hak anak-anak Malaysia, khususnya daripada keluarga miskin B40 dan M40,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius beberapa perkara yang dibangkitkan Haim Hilman sebelum ini berkaitan sistem kemasukan ke universiti awam, termasuk dakwaan kononnya institusi itu menjual tempat kepada golongan tertentu.
KPT dalam satu kenyataan berkata, susulan itu pihaknya meneliti dan mempertimbangkan tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya.
Menurutnya, ia bagi mempertahankan integriti kementerian, universiti awam dan sistem pendidikan tinggi negara daripada fitnah serta tuduhan yang tidak berasas.
Menurut KPT, tuduhan tersebut bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara.
Sebelum ini, Haim Hilman didakwa menyatakan bahawa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menafikan 30,000 pelajar yang layak kerana amalan tidak telus dan wujud unsur ‘pintu belakang’ dalam satu ceramah umum di Markas Pas Kawasan Seremban pada 13 Jun lalu. – MalaysiaGazette
















