KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 205 kes kecurian kabel di sekitar ibu negara sepanjang tahun 2025 dengan 171 tangkapan berjaya dilakukan dalam usaha berterusan membanteras jenayah berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata, daripada jumlah tangkapan itu, sebanyak 103 melibatkan kes curi kabel telekomunikasi (telco), 28 kes curi kabel rel dan 40 kes lain-lain kecurian kabel.
Menurut beliau, sebanyak 193 kertas siasatan telah dibuka sepanjang tempoh tersebut dengan 60 kes berjaya dituduh di mahkamah.
“Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 pula, sebanyak 71 laporan kes kecurian kabel diterima dengan 85 tangkapan dibuat melibatkan 50 tangkapan kes curi kabel telco, 17 tangkapan kes curi kabel rel dan 18 tangkapan bagi lain-lain kecurian kabel.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 67 kertas siasatan telah dibuka dan 12 kes berjaya dituduh di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan barang kes bagi tempoh tersebut adalah sebanyak 357 unit dengan nilai rampasan dianggarkan RM629,000.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang melibatkan kerosakan atau gangguan terhadap kemudahan rangkaian.
Katanya, kecurian kabel bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda, malah memberi kesan langsung kepada keselamatan awam, ekonomi dan kelancaran perkhidmatan penting.
“Jenayah ini boleh mengganggu perkhidmatan komunikasi, operasi perniagaan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan selain meningkatkan kos pembaikan serta penyelenggaraan infrastruktur.
“Ia turut menjejaskan aktiviti ekonomi, mengurangkan produktiviti dan boleh mengundang risiko kemalangan termasuk renjatan elektrik serta kebakaran, khususnya melibatkan kabel elektrik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras kegiatan kecurian kabel demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran. – Malaysia Gazette
















