PARIT SULONG – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan pemantauan kandungan secara 24 jam sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga 11 Julai ini bagi memastikan penyebaran berita palsu, maklumat tidak sahih serta kandungan menyentuh isu 3R dapat dibendung.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, proses pemantauan itu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan serta MCMC bagi memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.
“Kementerian Komunikasi melalui MCMC akan turut membantu memastikan kita tidak mahu apa-apa kandungan yang tidak sihat, memudaratkan, bersifat berita palsu, maklumat palsu, selain kandungan yang menyentuh isu 3R,” katanya kepada media selepas selesai proses penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, di sini hari ini.
Terdahulu, Fahmi mengiringi calon Pakatan Harapan (PH), Khuzan Abu Bakar untuk menghantar borang pencalonan bagi kerusi DUN berkenaan.
Fahmi yang juga Ketua Komunikasi PH berkata, beliau telah diberi taklimat oleh pasukan MCMC mengenai persiapan pemantauan yang akan dijalankan sepanjang tempoh kempen sehingga hari pengundian.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya memainkan peranan dengan melaporkan sebarang kandungan yang disyaki palsu atau menyentuh isu 3R.
“Jika anda melihat apa-apa kandungan bersifat palsu ataupun menyentuh isu 3R, pertama laporkan kepada platform berkenaan kerana platform wajib mengambil tindakan.
“Selain itu, buat laporan kepada MCMC melalui portal aduan di aduan.mcmc.gov.my,” katanya. – MalaysiaGazette
















