Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku.

KUALA LUMPUR – Kestabilan politik yang dinikmati Johor ketika ini disifatkan sebagai hasil keserasian kepimpinan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga memberi limpahan kepada perpaduan rakyat serta pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr. Mohamad Tawfik Yaakub, Johor kini berada pada fasa penting dalam landskap politik, pentadbiran dan ekonomi hasil gabungan kepimpinan yang stabil serta hubungan harmoni antara institusi negara.

Menurut beliau, kejayaan yang dicapai negeri itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya didorong oleh kepimpinan yang diyakini, hubungan institusi yang kukuh serta keyakinan rakyat dan pelabur terhadap hala tuju negara.

“Johor dan Malaysia hari ini boleh dianggap bertuah kerana berada di bawah naungan dua institusi kepimpinan yang mempunyai matlamat yang sama, iaitu memastikan negeri dan negara terus maju dalam suasana yang stabil, tersusun dan diyakini.

“Melalui kewibawaan Sultan Ibrahim sebagai payung penyatuan negara serta kepimpinan Perdana Menteri yang memberi penekanan kepada kestabilan politik, keyakinan pelabur dan pembangunan ekonomi, kedua-dua institusi ini saling melengkapi dalam memperkukuh pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keserasian antara institusi diraja dan kerajaan memberi isyarat positif kepada rakyat serta komuniti pelabur bahawa Malaysia mempunyai landskap politik yang stabil dan prospek ekonomi yang meyakinkan.

Dr. Mohamad Tawfik berkata, Johor kini muncul sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara berikutan kedudukannya yang strategik bersempadan dengan Singapura, selain menerima limpahan pelaburan dan pembangunan infrastruktur yang pesat.

“Johor bukan sahaja penting dari sudut politik, malah semakin menyerlah sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu negara.

“Lebih penting, kestabilan politik yang dinikmati negeri ini turut menyumbang kepada pembentukan perpaduan masyarakat yang lebih matang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat kini bukan sekadar menilai pembangunan berdasarkan projek fizikal, sebaliknya mengharapkan hasil daripada kepimpinan yang mampu mengekalkan hubungan baik antara institusi diraja, Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan masyarakat.

“Jika momentum ini dapat dikekalkan, Johor bukan sahaja akan terus memainkan peranan penting dalam landskap politik negara, malah berpotensi menjadi model kestabilan politik, perpaduan dan pertumbuhan ekonomi kepada negeri-negeri lain,” katanya.

Kekuatan Johor jelasnya lagi, terletak pada gabungan tradisi institusi diraja yang dihormati, pentadbiran yang stabil serta dasar pembangunan yang diterjemahkan kepada manfaat rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast