Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi memperluaskan skim pemilikan Proton S70 untuk pemandu teksi, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kerajaan kepada golongan itu meningkat kepada RM20 juta.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan sambutan menggalakkan terhadap skim berkenaan yang bertujuan membantu pemandu teksi memiliki kenderaan baharu selain meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

“Saya luluskan hari ini segera tambahan RM10 juta lagi untuk (Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama) khusus untuk teksi dan Proton S70,” katanya semasa meluncurkan program pembaharuan Teksi Madani Nasional di Dataran Merdeka, hari ini.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Terdahulu, dalam ucapan pada majlis itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memohon peruntukan tambahan RM10 juta bagi pelaksanaan geran padanan terbabit.

Ia berikutan geran padanan berjumlah RM10 juta yang dilaksanakan tahun ini sudah habis digunakan dalam tempoh tiga bulan.

Dalam Belanjawan 2026 lalu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi membantu kira-kira 5,000 pemilik kenderaan menggantikan kenderaan lama mereka menerusi Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama, dengan tumpuan hanya kepada jenama automotif nasional.

Belanjawan 2026 itu disasarkan kepada pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun bagi menggalakkan peralihan kepada kenderaan baharu yang lebih selamat, cekap dan mesra alam.

Menerusi program berkenaan, pemilik kenderaan yang layak boleh menerima sehingga RM2,000 daripada pengeluar Malaysia, yang kemudiannya akan dipadankan oleh kerajaan untuk jumlah manfaat RM4,000 bagi pembelian kereta baharu.

Anwar berkata, pemandu teksi merupakan antara penyumbang penting kepada sektor pelancongan, kebersihan dan pembudayaan nilai tatasusila serta Malaysia Madani.

“Teksi bagi kita adalah penyumbang dalam bidang kebersihan, dalam bidang pelancongan, dalam bidang tata susila dan Madani dalam negara kita. Saya salute dan ucap terima kasih kepada semua pemandu teksi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan turut merancang pelbagai inisiatif bagi membantu golongan itu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi termasuk menyediakan latihan penggunaan aplikasi dan teknologi baharu secara terus di stesen-stesen teksi.

Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan industri teksi kekal berdaya saing dalam landskap pengangkutan yang semakin mencabar.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan dasar permit teksi yang diletakkan atas nama pemandu sendiri akan diteruskan bagi melindungi kebajikan mereka dan mengelakkan permit dimonopoli pihak tertentu.

Beliau turut optimis pelbagai langkah penambahbaikan yang dirancang kerajaan mampu meningkatkan pendapatan pemandu teksi kepada antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan pada masa hadapan.

“Dari dulu kalau saudara lihat, ucapan saya di Parlimen, di antara isu saya bangkitkan, mengapa permit teksi diberi kepada orang kaya dan diharapkan pemandu mendapatkan rezeki yang halal.

“Mengapa tidak boleh permit diberi langsung kepada pemandu supaya dia jadi pemilik. Ini isu dibangkitkan puluhan tahun. Kerajaan sekarang mengatakan permit patut diberi bagi yang mampu mengendalikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast