JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) didakwa mencemari perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila ada menterinya menyalah guna kuasa dan menggunakan jentera kerajaan semasa berkempen.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz mendakwa, kesalahan itu dilakukan sepanjang musim tempoh berkempen bagi tujuan untuk meraih undi dan sokongan para penjawat awam, golongan muda dan penerima inisiatif kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Beberapa contoh yang mahu saya berikan seperti Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan sebanyak RM216.44 juta untuk projek-projek baik pulih di Johor.
“Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan merangkap Timbalan Pengerusi Tekun Nasional yang buat lawatan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani menggunakan Jentera Tekun Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, dakwanya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki merangkap Pengerusi MARA yang buat program TVET MARA bersama-sama calon BN untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram.
Katanya, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) juga ada membangkitkan aset-aset kerajaan digunakan dalam kempen PRN Johor seperti siaran ceramah umum PH di RTM dan Pemberian Bakul Kasih Johor di seluruh negeri.
Tambahnya, begitu juga Bersih bangkitkan mengenai pengagihan 3,000 Kad Komuter Madani Shuttle Selatan bernilai RM50 kepada rakyat Johor dan program Kementerian Belia dan Sukan di Johor esok iaitu membuat penukaran minyak enjin motorsikal percuma.
“Saya fikir MUDA tidak perlu mengingatkan kerajaan bahawa semua aktiviti dan majlis yang dianjurkan itu adalah menggunakan sumber kerajaan dari hasil cukai semua rakyat Malaysia.
“Agenda membersihkan pilihan raya daripada politik kotor dan salah guna kuasa tidak seharusnya menjadi slogan politik semasa menjadi pembangkang sahaja tetapi perlu diteruskan ketika diberi mandat menjadi kerajaan,” tegasnya.
Rakyat, katanya, berhak memilih parti politik yang menghormati undang-undang sepanjang pilihan raya.
Selasa lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, sebarang pengumuman projek atau dasar baharu selepas tarikh penamaan calon bagi mana-mana pilihan raya adalah tidak dibenarkan, selaras peruntukan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan larangan itu melibatkan penggunaan jentera kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan berkempen.- MalaysiaGazette
















