JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menggesa rakyat Johor yang bekerja atau menetap di luar negeri itu, termasuk di Kuala Lumpur dan Singapura, supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hujung minggu ini.
Beliau berkata, setiap undi amat penting bagi menentukan hala tuju Johor, selain memastikan agenda pembaharuan yang sedang dilaksanakan kerajaan dapat diteruskan.
“Saya mahu semua menghubungi ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan yang berada di Kuala Lumpur, Singapura atau di mana sahaja supaya mereka pulang mengundi.
“Jangan ambil mudah satu undi. Setiap undi akan menentukan masa depan Johor dan negara,” katanya ketika berucap pada ceramah Pakatan Harapan (PH) di Perling malam ini.

Menurut Ramkarpal, perjalanan untuk melaksanakan pembaharuan masih jauh dan tidak boleh terhenti hanya kerana rakyat gagal keluar mengundi.
Katanya, perubahan yang dinikmati hari ini bukan berlaku dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil perjuangan panjang pemimpin pembangkang terdahulu yang berdepan pelbagai cabaran ketika membina sokongan rakyat.
“Suatu ketika dahulu, kita berdepan kesukaran mencari calon untuk bertanding dan sukarelawan untuk turun berkempen. Hari ini kita mempunyai wakil rakyat di seluruh negara hasil perjuangan yang mengambil masa bertahun-tahun.
“Sebab itu kita tidak boleh mensia-siakan pengorbanan mereka. Tanggungjawab kita sekarang ialah membawa negara ke tahap yang lebih tinggi,” tegasnya lagi.
Katanya lagi, kerajaan Madani telah mula menunjukkan kemajuan dalam memperkukuh ekonomi negara serta menarik pelaburan baharu, termasuk dalam sektor teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Pada masa sama, katanya, usaha melaksanakan reformasi institusi seperti pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu diteruskan bagi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru penyokong PH memastikan kadar keluar mengundi tinggi pada hari pengundian kerana setiap undi akan menentukan sama ada agenda pembaharuan dapat diteruskan atau sebaliknya. -MalaysiaGazette
















