Penunggang motosikal melintasi bendera parti-parti politik yang bertanding sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Larkin, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Negara, Dr Lingeshwaran R Arunasalam mengingatkan rakyat Johor supaya tidak membiarkan politik kuasa mengatasi agenda pembangunan kerana keadaan itu hanya akan menyebabkan negeri berkenaan terus ketinggalan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.

Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar memilih sebuah kerajaan negeri baharu, sebaliknya menjadi penentu kepada hala tuju pembangunan Johor untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Rakyat Johor perlu membuat keputusan yang bijaksana kerana pilihan yang dibuat kali ini akan menentukan masa depan negeri dan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Lingeshwaran, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan menarik pelaburan asing, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta mengukuhkan ekonomi negara menerusi lawatan rasmi ke luar negara, masih terdapat pihak yang lebih mengutamakan percaturan politik dan perebutan kuasa.

Katanya, dalam keadaan ekonomi dunia terus berdepan ketidaktentuan susulan konflik geopolitik di Timur Tengah, termasuk ketegangan membabitkan Iran dan Amerika Syarikat, keutamaan negara seharusnya tertumpu kepada usaha memperkukuh ekonomi, meningkatkan keyakinan pelabur dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, sepanjang turun padang ke beberapa kawasan luar bandar di Johor, masih terdapat kampung yang berdepan kekurangan kemudahan asas termasuk lampu jalan, selain pembangunan yang belum dinikmati secara menyeluruh.

“Rakyat Johor, sama ada di bandar mahupun luar bandar, berhak menikmati pembangunan yang lebih seimbang dan berkualiti. Pembangunan tidak seharusnya hanya tertumpu di kawasan tertentu sahaja,” katanya.

Ahli Dewan Negara, Dr. RA Lingeshwaran.

Mengulas agenda reformasi pula, Lingeshwaran mengakui masih ramai rakyat berpendapat pembaharuan institusi belum dilaksanakan sepenuhnya, namun menjelaskan proses itu memerlukan persetujuan Jemaah Menteri serta sokongan majoriti di Parlimen memandangkan negara kini ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut menyeru anak Johor yang bekerja atau melanjutkan pengajian di luar negeri supaya pulang mengundi, sambil mempersoalkan sampai bila golongan muda negeri itu perlu berulang-alik ke Singapura demi mencari pekerjaan yang lebih baik.

Kata beliau, hakikatnya Johor mempunyai potensi besar untuk menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi sekiranya pembangunan dan pelaburan terus diperkasakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast