Kehadiran jentera kempen termasuk daripada Pakatan Harapan (PH) merancakkan aktiviti perniagaan khususnya restoran di pekan Bukit Gambir, Tangkak, Johor.

MUAR – Senyuman dan keceriaan jelas terukir pada wajah para peniaga di sekitar Bukit Gambir ketika ini, apabila pekan itu yang sebelum ini agak sunyi kini bertukar wajah dengan kehadiran ramai `orang luar’.

Kedai-kedai makan dan restoran khususnya, dapat dilihat dipenuhi pelanggan hampir setiap masa, manakala hotel dan inap desa sudah penuh ditempah sekurang-kurangnya sehingga Ahad ini.

Semuanya kerana `pesta’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang kini hanya berbaki beberapa hari lagi sebelum hari pengundian pada Sabtu ini.

Seorang peniaga nasi campur berhampiran Sawah Ring di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlah, 50-an berkata, sejak lebih seminggu lalu, dia menerima kehadiran pelanggan yang lebih ramai berbanding biasa sehingga terpaksa memaksa lebih banyak makanan.

“Selalunya pelanggan kedai makan saya orang-orang kampung berdekata, tetapi sejak seminggu lalu, pelanggan-pelanggan yang datang kebanyakan orang luar.

“Alhamdulillah, kedai saya sentiasa penuh dan ada rezeki lebih sedikit bulan ini,” katanya yang mengusahakan kedai makan yang terkenal dengan menu asam pedas.

Kehadiran jentera kempen termasuk daripada Pakatan Harapan (PH) merancakkan aktiviti perniagaan khususnya restoran di pekan Bukit Gambir, Tangkak, Johor.

Situasi sama turut dirasai Mohd Zulhakim Yusof iatu peniaga makanan di kawasan penjaja di pekan Bukit Gambir apabila gerai jualan keropok lekor dan pisang goreng serta minuman ringan yang diusahakannya dikunjungi ramai pelanggan berbanding sebelum ini.

Malah, katanya, gerai yang diusahakannya itu turut dikunjungi calon-calon parti yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, sekali gus memberikannya peluang untuk menyuarakan masalah yang dihadapinya.

“Masalah utama kami ada banjir kilat setiap kali hujan lebat sebab kawasan ini terletak di kawasan sedikit rendah selain agak jauh dari sistem perparitan.

“Selain itu, kami para peniaga di sini juga berharap bahagian atap dapat diperbesarkan kerana setiap kali hujan, kawasan memasak di sini akan basah disebabkan kami hanya berteduh menggunakan khemah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette turut mendapati beberapa buah hotel bajet dan inap desa yang diusahakan penduduk tempatan turut menerima tempahan penuh sehingga Ahad ini.

Difahamkan, DUN Gambir turut dijadikan `DUN angkat’ parti politik tertentu yang membawa ramai jentera mereka dari luar negeri ini antaranya dari Perak dan Sabah bagi membantu kempen calon mereka.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) DUN Gambir, Mohd Nor Moh Yusof berkata, beliau akan berusaha memastikan ekonomi di kawasan itu kekal rancak meskipun selepas berakhirnya kempen PRN Johor ketika ini.

Jelasnya, aspek ekonomi sememangnya menjadi salah satu agenda dalam tekad yang ditawarkan beliau kepada penduduk DUN Gambir sekiranya dipilihan sebagai wakil rakyat pada PRN Johor, Sabtu ini.

“Antara tekad saya adalah memperkasa ekonomi penduduk di sini termasuk dalam kalangan penjaja dan penjual di pasar-pasar malam.

“Saya akan berusaha membantu para usahawan, peniaga kecil dan petani dengan memberi latihan dan akses kepada pembiayaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), TEKUN dan sebagainya selain menyokong dari aspek pemasaran digital,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast