JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.47 Kempas, Ramlee Bohani mempertaruhkan rekod pembangunan sepanjang lebih empat tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas bagi meyakinkan pengundi menjelang hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, pelbagai projek pembangunan dan penambahbaikan kemudahan awam berjaya dilaksanakan dengan peruntukan keseluruhan mencecah puluhan juta ringgit sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
“Alhamdulillah, sepanjang lebih empat tahun saya menjadi ADUN Kempas, pelbagai pembangunan telah berjaya kita laksanakan dengan jumlah peruntukan melebihi RM30 juta.
“Antara yang paling membanggakan ialah pembinaan lima dewan terbuka di sekolah-sekolah di Kempas dengan nilai lebih RM1 juta.
“Selain itu, banyak lagi projek menaik taraf kemudahan awam telah kita laksanakan demi keselesaan rakyat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas berkempen di pasaraya A-Mart Kempas semalam.
Selain itu, katanya, usaha menaik taraf kemudahan di kawasan Kempas turut melibatkan penggantian lif di beberapa premis awam serta kerja-kerja mengecat semula bangunan bagi memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa berada dalam keadaan baik.
Jelasnya, selain pembangunan fizikal, kerajaan negeri melalui wakil rakyat BN turut memberi perhatian kepada pelaksanaan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan yang melibatkan semua lapisan masyarakat.
“Program seperti Semarak Subuh, Bantuan Kasih Johor (BKJ) dan pelbagai inisiatif lain diteruskan supaya manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh masyarakat tanpa mengira kaum,” katanya.
Mengulas baki tempoh kempen yang berbaki kurang tiga hari sebelum pengundian, Ramlee akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendekatan bertemu pengundi secara bersemuka dari rumah ke rumah.
Menurutnya, kaedah itu penting bagi membolehkan beliau mendengar sendiri pandangan rakyat selain menyampaikan perancangan BN sekiranya terus diberi mandat mentadbir kawasan berkenaan.
“Untuk baki tiga hari ini, saya akan menumpukan kepada pertemuan secara langsung dengan pengundi di setiap kawasan.
“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan sangat positif. Kita dapat lihat ramai menerima kehadiran kita dengan baik dan saya berharap sokongan itu akan diterjemahkan dalam bentuk undi kepada BN pada hari pengundian nanti,” katanya.
Beliau turut menyifatkan hubungan akrab terjalin dengan penduduk khususnya golongan peniaga kecil bukanlah sesuatu yang berlaku hanya ketika musim pilihan raya sebaliknya telah dibina sejak sekian lama.
“Saya memang sudah lama bersama mereka. Sebelum menjadi wakil rakyat lagi saya telah mengenali ramai peniaga di sini. Di A-Mart sendiri kita pernah mengadakan beberapa program seperti memasak bubur lambuk pada bulan Ramadan dan pelbagai aktiviti lain.
“Selain mengeratkan silaturahim, program seperti ini juga secara tidak langsung membantu mempromosikan kawasan perniagaan ini supaya lebih dikenali masyarakat,” katanya.
Menurut Ramlee, hubungan yang dibina secara konsisten dengan masyarakat menjadi kekuatan utama beliau sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Saya bersyukur kerana hubungan yang terjalin dengan masyarakat masih kukuh sehingga hari ini.
“Insya-Allah, jika diberi mandat sekali lagi, saya akan terus bekerja dan memastikan lebih banyak pembangunan serta kebajikan dapat dibawa ke Kempas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















