JOHOR BAHRU – Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, merayu pengundi memberikan sokongan dan mandat kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, keputusan yang bakal dibuat oleh pengundi bukan sahaja menentukan wakil rakyat yang akan dipilih, malah hala tuju Johor untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Esok, Bangsa Johor akan membuat satu keputusan yang amat besar. Keputusan yang bukan sahaja menentukan siapa yang akan dipilih, tetapi juga menentukan arah perjalanan negeri yang kita cintai ini untuk lima tahun akan datang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Onn Hafiz berkata, sepanjang lebih empat tahun menerajui pentadbiran negeri, beliau bersama barisan Kerajaan Negeri telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak terlepas daripada kelemahan dan kesilapan sepanjang memikul amanah sebagai Menteri Besar.
“Saya sedar saya bukan pemimpin yang sempurna. Sepanjang memikul amanah ini, sudah tentu ada kelemahan, kekurangan dan kesilapan.
“Atas segala kekurangan itu, saya dengan penuh rasa rendah hati memohon ampun dan maaf kepada seluruh Bangsa Johor,” tambah beliau.
“Pilihlah Barisan Nasional. Pangkah Dacing. HIDUP BN! HIDUP BN! HIDUP BN! Allah Peliharakan Sultan, Allah Berkati Johor, Kepada Allah Kita Berserah,” tulisnya. – MalaysiaGazette
















