JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd. Puad menggesa pengundi supaya tidak bertangguh menunaikan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi lebih awal hari ini.
Beliau berkata, ia bagi mengelak risiko cuaca buruk yang diramal melanda beberapa kawasan di Johor, sekaligus berpotensi menjejaskan pergerakan pengundi dan memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi.
“Saya harap semua pengundi keluar mengundi awal. Sekarang cuaca masih baik, jadi ambillah peluang ini. Kita bimbang kalau hujan atau ribut berlaku seperti di beberapa kawasan di Johor sejak semalam.
“Ia boleh menyukarkan orang ramai untuk keluar mengundi,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas selesai mengundi di Sekolah Agama Taman Cempaka di sini hari ini.

Menurut Faezuddin, beliau selesai membuang undi kira-kira pukul 8.50 pagi dengan keseluruhan proses hanya mengambil masa sekitar lima minit.
Katanya, perjalanan pengundian di pusat mengundi berkenaan berlangsung lancar dengan kehadiran pengundi mula meningkat sejak awal pagi.
“Saya lihat semuanya berjalan dengan baik. Petugas SPR menjalankan tugas dengan lancar dan fasiliti yang disediakan kepada pengundi juga memuaskan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua petugas SPR yang memastikan proses pengundian berjalan teratur,” katanya.

Mengulas mengenai kehadiran pengundi, Faezuddin berharap golongan muda tidak mengambil sikap menunggu sehingga saat akhir untuk mengundi.
“Saya sempat melihat saluran pengundi muda. Mungkin masih awal tetapi saya berharap mereka akan keluar mengundi secepat mungkin kerana setiap undi amat penting,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat pilihan yang dibuat hari ini bukan sekadar memilih wakil rakyat sebaliknya menentukan hala tuju negeri dan masa depan negara.
“Harapan saya, keluarlah mengundi awal dan tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat. Setiap undi yang diberikan hari ini adalah penentu masa depan negeri dan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















