Foto FB JKR Melaka Tengah

MELAKA – Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat banjir dari 22 kawasan di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah di sini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata PPS pertama yang dibuka ialah di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah pada 2 petang bagi menempatkan mangsa banjir dari tiga kawasan, iaitu Taman Masjid Tanah Ria, Jalan Bandar Baru Masjid Tanah dan Kampung Pulau Semut.

“Setakat ini, 15 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Perkim Masjid Tanah bagi daerah Alor Gajah.

“Bagi daerah Melaka Tengah pula, dua PPS telah dibuka, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Ulu pada 3.10 petang manakala Japerun Pantai Kundor dibuka pada 3.27 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kamarulsyah berkata setakat 4 petang tadi, mangsa banjir di kedua-dua PPS itu masih dalam proses pemindahan.

Beliau berkata 19 kawasan direkodkan terjejas akibat banjir di daerah Melaka Tengah, iaitu Kampung Bandar Kaba, Taman Wan Show Bukit Cina, Kampung Bukit Beruang, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Melawis, Taman Seri Jati, Kampung Kandang, Kampung Balai Panjang, Kampung Batu Berendam dan Kampung Padang Pokok Mangga.

Turut terjejas ialah Kampung Bakar Batu, Kampung Batu Hampar, Kampung Pulau Kelapa, Kampung Musa, Kampung Solok Bukit Palah, Kampung Bachang, Kampung Sarang Helang, Kampung Peringgit dan Bertam Ulu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Mohd Adnan Ahmad Fauzi memaklumkan, taburan hujan yang tinggi di Melaka Tengah dan Alor Gajah menjadi antara punca banjir di kedua-dua daerah berkenaan hari ini.

Katanya, taburan hujan hari ini melebiji jumlah ketika Ribut Tropika Senyar melanda pada akhir tahun lepas,

Menurut beliau, setakat 2.30 petang tadi, jumlah taburan kumulatif hujan tertinggi, iaitu melebihi 100 milimeter (mm) telah dicatatkan di dua daerah itu.

“Taburan hujan yang direkodkan ketika Ribut Tropika Senyar yang berlaku pada 28 Nov tahun lepas ialah 147 mm namun taburan hujan yang direkodkan di empat stesen hujan di kedua-dua daerah hari ini adalah antara 132 mm hingga 158 mm,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata di daerah Alor Gajah, Stesen Hujan Solok Duku merekodkan 150 mm dan Stesen Hujan UiTM Lendu (141 mm) manakala di daerah Melaka Tengah pula, Stesen Hujan Pusat Pertanian Sungai Udang (158 mm) dan Stesen Hujan Empangan Bertam Hulu (132 mm).

Setakat 4 petang tadi, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat banjir dari 22 kawasan di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah.

Daripada jumlah itu, terdapat tiga kawasan terjejas banjir di daerah Alor Gajah manakala 19 kawasan lagi di Melaka Tengah susulan hujan lebat berterusan lebih enam jam sejak 6 pagi tadi.

Ia melibatkan PPS di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah dengan jumlah 15 mangsa daripada lima keluarga manakala dua PPS di daerah Melaka Tengah, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Ulu dan Japerun Pantai Kundor masih dalam proses pemindahan mangsa banjir.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast