Mohd Yusla Ismail

 

BATU PAHAT – Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Mohd Yusla Ismail daripada Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi selepas menewaskan dua pencabar Parlimen dalam saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, malam ini.

Mohd Yusla memperoleh (16,796 undi) mengatasi Ahli Parlimen Batu Pahat daripada Pakatan Harapan (PH), Onn Abu Bakar, yang meraih (8,881) serta calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Rashid Hasnon, dengan (2,058).

Kemenangan itu meletakkan Mohd Yusla dengan majoriti (7,916) hasil mandat rakyat di 73 saluran mengundi, melepasi majoriti pada PRN 2022 sebanyak 3,912 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Senggarang, Ahmad Azhar Ab Hamid di Dewan Seri Intan, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat di sini malam ini.

Ia sekali gus menyaksikan BN terus mengekalkan penguasaan di DUN Senggarang selepas kerusi berkenaan dimenangi Mohd Yusla pada PRN Johor 2022 dengan majoriti 3,912 undi.

Pertembungan di Senggarang menjadi antara saingan menarik di Batu Pahat apabila mempertemukan penyandang DUN dengan dua tokoh di peringkat Parlimen termasuk Mohd Rashid yang pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat pada 2018 hingga 2022.

DUN Senggarang mempunyai 38,576 pemilih berdaftar dan menjadi antara kerusi perhatian berikutan pertambahan pengundi hasil pelaksanaan Undi18 serta pendaftaran pemilih secara automatik.

Secara keseluruhan, PRN Johor kali ini melibatkan 2,727,926 pengundi berdaftar, termasuk hampir 1.3 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun, manakala seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast