Calon PH N.41 Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik bercakap pada sidang media selepas Pelancaran Manifesto PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 03 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik kembali bergelar wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa apabila berjaya meraih undi 41,694 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 malam ini.

Maszlee yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Simpang Renggam memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 5,738 undi.

Beliau berjaya mengetepikan pencabar dari Barisan Nasional, Teow Chia Ling yang memperoleh undi 35,956, calon Muda, Rashifah Al Junied (5,821), calon Bersama, Nicholas Paul Vincent (2,389) dan calon bebas, Wang Wee Szoang (238).

Sebelum menyertai gelanggang politik pada 2018 menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Maszlee merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pada PRU14, Maszlee memenangi kerusi Parlimen Simpang Renggam atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dilantik oleh Pakatan Harapan sebagai Menteri Pendidikan.

Namun, beliau hanya memegang jawatan tersebut selama 20 bulan sahaja sebelum membuat keputusan meletakkan jawatan.

Sementara itu, kerusi DUN Puteri Wangsa mempunyai 128,723 pengundi berdaftar dengan sebanyak 63,058 undi direkodkan setakat keputusan tidak rasmi itu.

Pada PRN Johor ke-15, kerusi DUN Puteri Wangsa disandang oleh Amira Aisya Abd Aziz daripada Muda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast